PAS, Umno, Bersatu berpadu di majlis khatam al Quran

- Advertisement -

KANGAR: Penyatuan ummah di Perlis terus dipertahankan di mana ia dapat dilihat Umno dan Bersatu hadir pada Majlis Khatam al-Quran anjuran PAS Kangar yang diadakan semalam.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Ketua Wanita Umno bahagian, Azihani Dato’ Ali dan Ketua Bersatu Kangar, Abu Bakar Hamzah.

Yang Dipertua PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya menzahirkan rasa syukur dengan kehadiran tetamu dari ketiga-tiga parti tersebut yang mencerminkan perpaduan umat Islam di Perlis terus dipertahankan.

- Advertisement -

Katanya biarpun masih wujud ketidaktentuan dalam hubungan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional namun di Perlis suasana agak berbeza.

“Kekuasaan umat Islam wajib dipertahankan dan kita (PAS, Umno dan Bersatu) parti yang mewakili umat Islam ini sama ada dalam PN mahu pun MN, harus ingat, tidak ada siapa yang lebih atau kurang sesama kita.

“Tetapi kita miliki satu matlamat dan satu tujuan iaitu sama-sama mempertahankan Islam.

“Maka kita berkumpul dalam satu program, dan bagi pihak PAS Kangar, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Umno dan rakan-rakan dari Bersatu atas kehadiran dalam menjayakan program pada hari ini,” katanya pada majlis berkenaan.

Seramai 120 tetamu hadir pada program tersebut yang diadakan di Markas Tarbiah PAS Kawasan Kangar, dekat sini.

Mereka yang menjayakan acara khatam al-Quran menerima cenderahati sumbangan Yayasan Pok dan Kassim.

Sementara itu, Shahidan ketika berucap merasmikan majlis tersebut, turut mengakui kepentingan ketiga-tiga parti terus memperkukuh kerjasama di negeri ini.

Jelasnya, perpecahan umat Melayu-Islam yang berlaku selama ini ternyata memberi kerugian yang amat besar.

Beliau juga menyeru umat Islam memperbanyak doa sempena akhir Ramadan sekarang, dan berharap ketiga-tiga parti dapat meneruskan kerjasama demi kesatuan umat Islam.

“Kita bersyukur kerana Umno, Bersatu dan PAS sudah berada di bawah satu bumbung (bekerjasama).

“Kita perlu terus bersama, teruskan kerjasama dan bersatu padu (kerana pada akhirnya), kalau kita bersama, kita akan menang,” katanya.

Manakala pada majlis lain Umno Kangar mengadakan Iftor Muafakat Nasional anjuran di sebuah hotel di sini yang turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Azlan Man. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -