Polis Kelantan tumpas sindiket ‘Mat Yo’, ‘Datin’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai ‘Mat Yo’ dan ‘Datin’ dalam empat serbuan di lokasi berasingan.

Turut ditahan 13 individu melibatkan tujuh lelaki Melayu dan enam lelaki dan empat wanita warga Thailand berusia antara 23 hingga 48 tahun dalam serbuan yang dilakukan di lokasi berasingan melibatkan kawasan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu polis berjaya menemukan sebanyak 71 bungkusan yang mengandungi pelbagai jenis dadah dan pil kuda bernilai hampir RM7 juta.

- Advertisement -

Katanya, polis Kelantan juga menyita pelbagai jenis barangan antaranya kereta, barang kemas, wang dan jam tangan kesemuanya bernilai RM369,000.

“Kes pertama kita namakan kes ini sindiket Mat Yo ada berkait dengan ahli yang ditangkap yang sebelum ini dan berjaya menagkap dua lelaki di dua lokasi yang berbeza.

“Lelaki pertama yang berumur 32 tahun ditangkap di sebuah apartment di Kota Bharu dan dalam serbuan tersebut polis berjaya menemukan 14 bungkusan yang mengandungi 84,000 pil dengan nilaian semasa adalah RM40,000,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Dalam sindiket pertama itu juga katanya, polis berjaya menangkap lelaki warga Thailand berumur 42 tahun dan berjaya merampas sebanyak 10 bungkus yang mengandungi dadah dan pil kuda bernilai RM3.79 juta.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek lelaki Melayu dan Thailand itu direman selama tujuh hari bermula pada 5 dan 6 Mei.

Sindiket kedua melibatkan tangkapan lebih ramai yang dikenali sebagai sindiket ‘Datin’, polis telah merampas 180,000 biji pil kuda dan hampir 15 kilogram syabu masing-masing bernilai RM1.8 juta dan RM540,000 dengan nilai sitaan pelbagai barangan berjumlah lebih RM300,000.

Katanya bagi sindiket itu polis telah menahan seorang lelaki Thailand di sebuah rumah di Kota Bharu pada pada 7 Mei selepas polis menjumpai dua botol plastik mengandungi kokain dan 30 bungkus berisi pil merah dan hijau yang disyaki dadah.

“Kemudian, bertindak atas maklumat dadah, polis menahan sebuah kenderaan di sekitar Kota Bharu dan menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 24 tahun, apabila polis menjumpai 17 bungkusan mengandungi syabu di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan tangkapan pada 7 dan 8 Mei itu, polis juga menahan empat lelaki tempatan dan empat wanita warga Thailand termasuk seorang yang bergelar Datin bagi membantu siasatan di lokasi berasing di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, semalam.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -