Air percuma kepada rakyat T’ganu sempena Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju untuk memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumah tangga sempena perayaan Aidilfitri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penduduk PPRT.  

- Advertisement -

“Ia bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, pemberian air percuma itu akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.

Beliau berkata, ia akan melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bagi bermula 1 hingga 31 Mei.

Dr Samsuri berharap inisiatif itu dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak Covid-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim sambutan Aidilfitri tahun ini. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -