Pandemik Covid-19 ambil masa – Dato’ Amzad

Seorang anak yatim menerima sumbangan yang disampaikan oleh Dato’ Ahmad Amzad Hashim.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyambut baik saranan mantan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tidak sesuai diadakan sekarang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim menyokong, saranan Tun Dr Mahathir yang berpendapat PRU15 tidak sesuai jika hendak diadakan sekarang.

Ini menunjukkan, katanya Tun Dr Mahathir tahu bahawa pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia bersifat sejagat.

Malah, kata beliau yang menjadi priority buat masa sekarang memastikan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencapai tahap 70 hingga 80 peratus.

“Saya menyambut baik pandangan Tun Dr Mahathir dan ini dapat membantu, supaya kita (kerajaan) boleh fokus kepada usaha untuk menangani Covid-19 dan juga untuk membantu rakyat pada masa sekarang dan pemulihan ekonomi negara.

“Ini menunjukkan bahawa Tun (Dr Mahathir) sendiri pun tahu bahawa pandemik Covid-19 ini adalah pandemik bersifat sejagat dan mengambil masa untuk ditangani sepenuhnya.

“Jadi priority (keutamaan) pada masa sekarang dari segi MOSTI adalah (bagi) memastikan supaya usaha program imunisasi ini mencapai tahapnya 70 hingga 80 peratus imuniti kelompok yang kita (kerajaan) sasarkan, supaya dapat dicapai sebelum hujung tahun ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Agihan Sumbangan kepada Anak Yatim di Masjid Al-Furqan, Simpang Empat Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerlukan pandangan dari mereka yang mempunyai kepakaran bagi menangani masalah tersebut.

“Ini sudah tentulah kerajaan memerlukan pandangan daripada mereka yang mempunyai kepakaran berkaitan keselamatan dan kesihatan rakyat. Pandangan daripada Kementerian Kesihatan tentunya menjadi suatu perkara yang penting.

“Melihat kepada situasi pandemik yang berlaku di seluruh dunia sekarang seperti keadaan di India dan telah melarat ke Nepal.

“Beberapa negara lain yang telah berhadapan dengan peningkatan mendadak Covid-19 ini menyebabkan apa yang disebut oleh Tun Dr Mahathir itu sangat relevan,” jelasnya.

Menurut Dato’ Amzad, negara ini tidak terkecuali dan terpaksa menghadapi gelombang kedua pandemik itu selepas berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

“Di Malaysia juga tidak terkecuali kerana kita (negara) pernah ‘kosong’ kes pada bulan Julai 2020. Dikeranakan oleh PRN Sabah, kita (negara) terpaksa mengahadapi gelombang kedua dan perkara yang sama, saya rasa menjadi punca kebimbangan Tun Dr Mahathir dan itu jugalah yang sedang dipantau dengan teliti oleh kerajaan pada masa sekarang,” tegasnya.

Pada 5 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu berpendapat situasi pandemik Covid-19 semakin meningkat dan mengakibatkan penularan jangkitan lebih dahsyat jika sebarang bentuk pilihan raya diadakan.

Hadir sama Pegawai Perhubungan dan Hal Ehwal Kebajikan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab dan Pembantu Khas Parlimen (DUN) Batu Buruk, Tuan Ngah Tuan Ahmad. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -