Saman fitnah kepada LGE, Steven Sim dan Liyana Marzuki

- Advertisement -

SAYA amat menyesali tindakan liar dan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang menggunakan teknik buli siber dengan mengarahkan tentera-tentera siber untuk menyerang diri saya dan tempat saya bekerja dalam media sosial untuk cuba membunuh karakter saya serta menjatuhkan imej dan kedudukan saya di mata masyarakat.

Negara kita adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan sekiranya pihak-pihak tertentu ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang maka mereka sepatutnya menggunakan undang-undang negara bagi membuktikan kesalahan saya dan bagi menghukum saya jika saya melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa.

- Advertisement -

Atas prinsip yang sama, bagi membersihkan diri saya dari pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas diri saya dan tempat saya bekerja sehubungan dengan isu pemberian bantuan motosikal oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, saya telah memulakan tindakan undang-undang ke atas tiga pihak yang memfitnah saya.

Saman fitnah kepada Lim Guan Eng 

Pihak yang pertama adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, yang telah, pada 21 April 2021, mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap diri saya yang disiarkan antara lainnya di dalam tiga media berikut:
a) https://dapmalaysia.org/Kenyataan-Akhbar/2021/04/21/32152/;
b) https://dapmalaysia.org/statements/2021/04/21/32151/;
c) https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/04/21/guan-eng-accuses-pas-of-pushing-envelope-of-extremism-and-racism-in-malaysi/1968236.

Kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Lim Guan Eng adalah kenyataan-kenyataan beliau yang mendakwa saya:

(a) memalukan kedudukan akademik saya dengan menulis di Harakah mempersoalkan motif Steven Sim membantu seorang Melayu Islam di kawasan Steven Sim sendiri;
(b) dengan jahat melabelkan Steven Sim sebagai Mubaligh Kristian Cina walaupun Steven Sim tidak pernah menyampaikan khutbah di mana-mana gereja.
(c) membandingkan dengan secara tidak wajar pemberian sebuah motosikal oleh Steven Sim dengan pemberian sebuah motosikal oleh seorang Timbalan Menteri Melayu.
(d) membenci dan mencerca orang bukan-Melayu atau bukan-Islam membantu orang Melayu atau orang Islam dengan melabelkan mereka sebagai Mubaligh Kristian Cina.

Saman fitnah kepada Steven Sim

Pihak yang kedua adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, yang telah, pada 21 April 2021, mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap diri saya yang disiarkan antara lainnya di dalam media berikut:

a) https://www.facebook.com/MalaysiaGazette/videos/206677827663787/.

Kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Steven Sim adalah kenyataan-kenyataan beliau yang mendakwa saya:
(a) mengeluarkan cerita Steven Sim memberi bantuan motosikal untuk menyebarkan agama.
(b) menyatakan kedai (menjual motosikal) tidak boleh dikesan.
(c) menyebarkan fitnah bahawa penerima bantuan motosikal tidak boleh ditemui sedangkan saya atau orang parti saya sudah menemui dan berjumpa dengannya.

(d) mungkin tidak membayar RM2,000 kepada pemberi maklumat mengenai penerima bantuan motosikal.
(e) menawarkan RM2,000 ke atas kepala penerima bantuan motosikal bukan bertujuan untuk mencari kebenaran, tetapi hanya bertujuan untuk mencari peluang untuk menyerang beliau. 
(f) melakukan satu perbuatan yang melampau dengan meletakkan harga ke atas kepala penerima bantuan motosikal.
(g) mengganggu penerima bantuan motosikal dan keluarganya.
(h) tahu bahawa penerima bantuan motosikal boleh dijumpai dan saya atau wakil saya telah datang berjumpa dengan penerima bantuan motosikal dan memberinya wang.
(i) bertanya soalan-soalan yang tidak patut mengenai penerima bantuan motosikal, termasuk adakah baju yang dipakai olehnya adalah baju yang betul.
(j) menyatakan motosikal yang diberi kepada penerima bantuan motosikal tidak wujud.

Saman fitnah kepada Liyana Marzuki

Pihak yang ketiga adalah mantan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Noor Liyana Binti Ahmad Marzuki, yang telah, pada 28 April 2021, mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap diri saya yang disiarkan antara lainnya di dalam media berikut:
a) https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10159170711273427&id=566123426; (Posting Facebook 1)
b) https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10159170949963427&id=566123426. (Posting Facebook 2)

Kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Liyana Marzuki di dalam Posting Facebook 1 adalah kenyataan-kenyataan beliau yang mendakwa saya:
(a) mengeluarkan penulisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah.
(b) memalukan seluruh profesion ahli akademik.
(c) perlu meninggalkan dunia akademik dan masuk politik.
(d) memuatnaik satu posting Facebook yang bertajuk ‘Wayang Opera Cina DAP sekali lagi?’ dan kemudiannya memadamkan posting Facebook ini setelah mendapati posting Facebook ini adalah tidak benar.

Kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Liyana Marzuki di dalam Posting Facebook 2 adalah kenyataan-kenyataan beliau yang mendakwa saya:
(a) mempersoalkan tindakan Steven Sim menghadiahkan sebuah motosikal kepada seorang food panda rider dengan menyatakan ia adalah agenda Kristian terhadap budak Melayu.
(b) menawarkan RM2,000 kepada sesiapa yang mendedahkan identiti food panda rider untuk menunjukkan food panda rider itu sebenarnya tidak wujud.
(c) menyebabkan food panda rider ini kena harrass sebab menerima hadiah sebuah motor daripada Steven Sim.
(d) tidak berbuat apa-apa untuk menolong food panda rider itu selain daripada menyusahkan hidupnya.
(e) nama saja Islam tetapi tidak berkelakuan seperti seorang Islam.

Ekoran kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh mereka, saya telah di antara lainnya dihadapkan dengan hinaan dan cemuhan secara terbuka dan berterusan oleh masyarakat secara amnya yang menyebabkan saya mengalami kesusahan dan kegelisahan mendalam dan mendapat malu besar, menyebabkan tindakan undang-undang ini diambil.

Saya menyedari bahawa terdapat pihak-pihak lain yang turut mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang serupa atau hampir serupa kepada diri saya mengenai isu ini, di mana sesetengah daripada mereka ini telah saya laporkan kepada pihak polis pada 30 April lalu, dan saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama kepada mereka selepas ini.

DR. KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia
2 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 2/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -