800 bubur lambuk ‘licin’ dalam masa 40 minit

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah membungkus bubur lambuk di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Penaga bersama Jentera Pilihan Raya Dun (JPrD) Penaga. Foto Syahirah Salleh.
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Sebanyak 800 bubur lambuk habis ‘licin’ diedarkan dalam masa 40 minit pada setiap Ahad dan Sabtu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah.

Menurut beliau, edaran bubur lambuk di bawah kelolaan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Adun Penaga itu merupakan aktiviti tradisi yang diusahakan Jentera Pilihan Raya Dun (JPrD) sejak beliau dilantik sebagai Adun Penaga.

Katanya, aktiviti edaran bubur lambuk yang dilakukan secara pandu lalu di hadapan PKWR Penaga menjadi salah satu cara untuk beliau mendekati penduduk setempat dalam masa sama beramal di bulan Ramadan.

Tindakan itu secara tidak langsung turut memberi peluang kepada Mohd Yusni bersua muka dengan pengundi dan penduduk Penaga untuk beliau membina hubungan dengan masyarakat, katanya.

- Advertisement -

“Ramadan tahun ini, iaitu Ramadan ke 1442H, dah masuk tahun yang ketiga, projek edaran bubur lambuk Pusat Khidmat Adun Penaga lah untuk masyarakat setempat.

“Jadi kita bermula tahun 2019, 2018 kita baru menang pilihan raya, kemudian selepas itu Ramadan kita tak sempat untuk buat projek ini, tapi setahun kemudian baharu kita mula 2019, 2020 walaupun dalam pandemik, dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi kita buat juga dan kita edar mengikut SOP yang ditetapkan.

“Maknanya, tidak dibenarkan ramai-ramai tunggu di bazar, kita lebih kepada pandu lalu sahaja, kita tahan, bagi. Kereta atau motorsikal ambil, terus jalan.

“Ini berterusan, projek ini tahun ini dah masuk tahun ketiga, Alhamdulillah. Kita buat setiap minggu Sabtu dan Ahad dengan setiap hari dua periuk besar bubur lambuk ini, kita akan bungkus lebih kurang dalam 700 ke 800 bungkus untuk diedarkan.

“Projek ini memang mendapat sambutan masyarakat, mereka memang ternanti-nanti, sebab kalau rasa nanti boleh tau lah dia punya aura dan dia punya rasa dia itu, memang sedap dan ramai suka,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily ketika sibuk mengadakan persiapan edaran bubur lambuk, di PKWR Penaga, di sini, hari ini.

Petugas JPrD mengedarkan bubur lambuk di hadapan PKWR Penaga

Mengulas lanjut kata Mohd Yusni, aktiviti itu juga menjadi salah satu peluang dan ruang untuk pelbagai pihak membuat amal kebajikan sepanjang Ramadan.

“Kita tidak tutup pintu-pintu kebaikan ini, di sana ada kelebihan orang yang beri makan kepada orang yang berpuasa itu, dia akan dapat pahala sama dengan orang berpuasa. Allah beri, walaupun hanya RM1.

“Jadi, pintu itu kita buka dengan makna kalau kita nak sponsor atau ada sumbangan lain, kita akan lebihkan bubur lambuk itu berdasarkan sumbangan-sumbangan yang kita terima juga daripada orang ramai,” katanya lagi.

Tambah Mohd Yusni, awal pelaksanaan pada 2019, PKWR Penaga hanya menyediakan kira-kira 400 bungkus, namun disebabkan permintaan yang tinggi, mereka menggandakan pengeluaran menjadikan jumlah edaran adalah 800 sehari.

Segala usaha yang dijalankan turut dibantu oleh Pemuda PAS Penaga, Jabatan Unit Amal (JAM) Dun Penaga dan Hal Ehwal Wanita (HELWA) Penaga.

Mohd Yusni dibantu oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) ketika sesi edaran bubur lambuk kepada peniaga Bazar Ramadan di Penaga.

Ujar Adun Penaga itu, walaupun terdapat permintaan daripada penduduk setempat untuk diedarkan setiap hari, namun situasi itu berada di luar kemampuannya disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun, tradisi itu kata beliau akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan amat berharap supaya bukan setakat PRU15 sahaja.

“Orang memang tau (mengenai) bubur lambuk Pusat Khidmat Wakil Rakyat Penaga, bubur lambuk YB, sebelum ini tampal sticker, sekarang tidak tampal sebab orang sudah tahu,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

Mengedarkan bubur lambuk dan pelitup hidung dan mulut di Bazar Ramadan Penaga, dalam masa sama peniaga turut berkongsi mengenai inisiatifnya mengedarkan murtabak secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Mohd Yusni turut menyantuni warga emas yang hadir ke Bazar Ramadan Penaga
Skuad Kebajikan dan Amal Masjid Tuan Haji Mohd Desa menyumbang beras kepada PKWR Penaga
- Advertisement -