Seluruh manusia berasal daripada sebuah keluarga besar

- Advertisement -

ALLAH SWT telah memilih Adam alaihissalam (AS) sebagai manusia pertama yang dicipta oleh Allah SWT.

Adam AS diisytiharkan di hadapan malaikat dan dimasukkannya ke dalam syurga. Adam AS ditarbiah di dalam syurga untuk dihantar ke bumi. Adam AS dianggap bapa kepada segala manusia.

Manakala, Nuh AS pula merupakan manusia pertama yang menjadi Rasul untuk menentang kekufuran.

Mengikut pandangan para ulama’, manusia dalam keadaan beriman kepada Allah SWT pada masa Nabi Adam AS sehingga 10 abad selepas kewafatan Nabi Adam AS.

Selepas jangka waktu tersebut, syirik mula berleluasa apabila manusia menyembah patung, berhala dan melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah SWT.

- Advertisement -

Telah disebutkan di dalam al-Quran berkaitan perjuangan Nabi Nuh AS yang sangat panjang iaitu selama 950 tahun dalam menghadapi kesesatan manusia pada ketika itu. Namun, hanya sedikit sahaja yang beriman.

Allah SWT menurunkan bencana taufan yang membinasakan mereka yang kafir dan meninggalkan sedikit sahaja manusia yang beriman bersama Nabi Nuh AS.

Adapun manusia selepas Nabi Nuh AS adalah daripada zuriat Nabi Nuh AS. Ulama’ meriwayatkan bahawa mereka yang lain tidak memiliki zuriat. Hanya Nabi Nuh AS yang memiliki zuriat yang beriman iaitu Sam, Ham dan Yafith.

Zuriat daripada Sam melahirkan bangsa Arab, Yahudi, Eropah dan lain-lain.

Manakala zuriat melalui Ham lahirnya bangsa Afrika.

Dan melalui zuriat Yafith lahirnya bangsa Asia – Cina, Melayu dan lain-lain.

Begitulah zuriat manusia daripada keturunan Nabi Nuh AS.

Nabi Nuh AS dianggap sebagai bapa yang kedua.

Nabi Ibrahim AS pula, memiliki dua orang anak yang membawa kepada lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Berasal daripada zuriat Nabi Ismail AS lahirnya bangsa Arab, manakala daripada keturunan Nabi Ishak AS lahirnya bangsa Bani Israel. Mereka semua adalah berasal daripada Sam.

Manakala ‘Imran pula adalah bapa kepada Maryam. Allah SWT menciptakan Nabi Isa AS daripada ibunya, Maryam tanpa bapa untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.

Semuanya dipilih untuk seluruh alam. Sebahagiannya adalah zuriat kepada yang lain.

Ini menunjukkan bahawa seluruh manusia adalah berasal daripada sebuah keluarga yang besar.

Oleh yang demikian itu, Allah SWT memerintahkan supaya manusia bersatu dengan iman dan kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 24/4/2021

- Advertisement -