RESPA beri sumbangan berbuka kepada petugas SJR

- Advertisement -

TUMPAT: Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) tampil menghulurkan sumbangan bagi menghargai peranan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR).

Pengerusi RESPA Kelantan, Dato’ Aziz Salleh berkata, program ‘kenang jasa’ merupakan sebahagian usahanya bersama Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Beliau berkata, tugas yang dimainkan oleh barisan hadapan sangat besar ketika Kelantan kini sedang berdepan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.

- Advertisement -

“Ini adalah usaha kita untuk memberi semangat kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya supaya mereka bersemangat menjalankan tugas ini,

“Jadi kita bagi sedikit sumbangan untuk berbuka puasa dengan kerjasama MTRK, dengan sumbangan yang tidak seberapa ini adalah satu simbolik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan di SJR di Jambatan Sultan Ismail Petra Pasir Pekan di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Abdul Rashid Mat Daud dan Ketua Pemuda MTRK, Aiman Yusri.

Aziz berkata lagi, program itu tidak terhenti di Kota Bharu dan Tumpat sahaja, malah diteruskan ke daerah lain ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita buat program ini bukan untuk sini sahaja, beberapa daerah lain turut terlibat, tetapi kita serah kepada daerah untuk adakan serahan sumbangan seperti ini.

“Machang kita ada wakil kita di sana, Pasir Mas kita ada ahli jawatankuasa kita, dia akan uruskan, bahkan seluruh Kelantan kita ada ahli akan buat,” katanya.

Dalam pada itu wakil MTRK, Aiman Yusri berkata, kira-kira 500 pek makanan dan minuman diagihkan kepada anggota bertugas yang sanggup meninggalkan keluarga.

Walaupun rentas daerah tidak dibenarkan katanya, namun pihaknya akan mengarahkan kepimpinan dan ahli di peringkat daerah untuk melaksanakan program tersebut.

“Kita akan kesemua tempat yang kita boleh pergi, kita pergi dan kalau tidak boleh pun kita akan arahkan ketua dan ahli daerah untuk memberikan sumbangan.

“Peruntukan ini kita tidak kira, kalau kita rasa kita ada kemampuan kita akan agih-agihkan kepada semua tempat, anggaran lebih 500 makanan, mask dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2021

- Advertisement -