Pembukaan Kota Makkah

- Advertisement -

PERISTIWA Pembukaan Kota Makkah bermula pada tanggal 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah.

Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila Musyrikin Makkah melanggar Perjanjian Hudaibiyyah yang telah dimeterai dengan orang Islam.

Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Nabi Muhammad SAW ataupun sekutu Quraisy.

Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan pihak tidak boleh membantu pihak lain berperang.

Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, terbahagi kepada dua golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Bani Khuza’ah.

- Advertisement -

Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Makkah, manakala Bani Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Makkah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di Lembah Watir.

Apabila berita itu sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW, Baginda mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Makkah tanpa pengetahuan penduduk Musyrikin Makkah.

Baginda menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Makkah.

Penduduk Musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan. Mereka dibenarkan berada di rumah masing-masing, Masjidil Haram dan rumah Abu Sufyan, kerana diberikan penghormatan setelah beliau masuk Islam selepas ditawan.

Akhirnya, umat Islam memasuki Kota Makkah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah SWT kepada hamba hamba yang ikhlas kepada-Nya. Allah SWT menyebut dalam al-Quran:

إنا فتحنا لك فتحا مبينا

“Sesungguhnya Kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” [Surah al-Fath: 1]

Sebahagian ulama’ tafsir Al-Quran memberikan maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan membuka Makkah.

Fathu Makkah atau pembukaan Kota Makkah lebih memberikan makna kepada kemerdekaan yang sebenar.

Maka perlu difahami, bahawa Makkah tidak pernah ditakluk oleh penjajah asing seperti Parsi, Rom, Inggeris, China, Perancis dan sebagainya.

Ini kerana Makkah bawah pemerintahan bangsa Arab yang terdiri daripado keluarga Rasulullah SAW, walaupun bangsa Arab Quraisy juga menjadi golongan pertama yang menentang Islam.

Walaupun mereka paling dekat dan mengenali segala tanda kerasulan dan akhlak mulia yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW, namun tetap meneruskan sikap buruk kepada Baginda SAW.

Ini kerana fikiran mereka masih dijajah oleh belenggu jahiliah yang menjadi punca kepada segala kemungkaran.

Perjuangan pertama qpara rasul ialah memerdekakan aqidah dan menyelamatkan semua manusia.

Makna kemerdekaan yang sebenar ialah menegakkan tauhid, iaitu Tuhan itu Esa dan menolak adanya sekutu bagi Allah dalam seluruh aspek kehidupan manusia yang terbahagi kepada aqidah (teologi), syariat (perundangan) dan akhlak yang dipraktikkan secara menyeluruh dan sempurna dalam diri dan seluruh cara hidup manusia.

Semua ini terkandung dalam al-Quran. Allah SWT menyatakan:

يأيها الذين ءامنوا أدخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطن إنه لكم عدو مبين

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

Selain itu, pengertian kemerdekaan yang sebenar adalah sepertimana yang difahami oleh generasi awal Islam.

Antaranya Rub’i bin ‘Amir yang menegaskan kepada Rustum, Panglima Tertinggi angkatan tentera Parsi:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام.

“Allah yang membangkitkan kami supaya menyelamatkan sesiapa yang mahu, daripada memperhambakan diri kepada sesama hamba (manusia) kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah (Tuhan yang sebenar), daripada wawasan dunia yang sempit kepada wawasan luasnya (akhirat), daripada kezaliman berbagai bagai ajaran dan undang-undang kepada keadilan Islam.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, ms. 40]

Setelah menguasai Kota Makkah dalam keadaan aman, perintah berkurung di rumah masing-masing ditamatkan. Penduduk Makkah berhimpun di hadapan Kaabah. Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai.

Ini berbeza dengan amalan pembunuhan beramai-ramai sepertimana yang berlaku dalam sejarah perang atau revolusi Barat sepanjang sejarah.

Hanya beberapa orang Musyrik Makkah yang dijatuhkan hukuman mati kerana jenayah yang berat, bahkan sebahagian besar penjenayah berat dimaafkan apabila mereka menyerah diri.

Pilihan Allah SWT berlakunya Fathu Makkah pada bulan Ramadhan sangat menepati dengan kemuliaan dan kelebihannya. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -