Benarkah PAS akan jadi mangsa?

- Advertisement -

KETIKA rumah tangga Umno dilihat masih bergolak, sebaliknya pemerhati politik yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mampu dipertahan.

Kata mereka bukan sekadar dipertahankan sekarang, sebaliknya melangkau sempadan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Isunya sekarang apakah ia sekadar khayalan atau sebaliknya.

Faktor asas antaranya apabila sembilan menteri mewakili Umno masih kekal bersama kerajaan PN. Begitu juga lima timbalan menteri. Tidak kurang juga sembilan pemimpin Umno masih menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Biarpun ada cabaran pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi mendesak menteri dan timbalan menteri meletak jawatan, namun ia tidak berlaku.

- Advertisement -

Malah pada PAU itu diputuskan Majlis Tertinggi Umno akan menentukan bila tarikh tarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Namun keesokan hari selepas cabaran dibuat di PAU, menteri terbabit mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin Yassin. Perdana Menteri kemudian mengumumkan menteri Umno terus kekal.

Dr Wan Nik Wan Yussof

Berdasar rentetan itu bagi Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, keupayaan PN mempertahankan kerajaan terbuka sekarang.

Bagaimanapun kata sarjana lepasan UKM terbabit, ia tidak semudah itu. Namun momentum ke arah itu sudah ada. Kata beliau ada syarat-syaratnya sebagai parameter.

“Rakyat masih lagi mengharap ada tindakan jelas kerajaan sekarang. Antaranya sejauh mana Bersatu mampu menyelesaikan konflik dengan Umno bagi meredakan suhu politik.

“Selain itu rakyat juga mahu melihat kesungguhan PAS menjelaskan semula perjuangan lama bagi memartabatkan perundangan Islam.

“Usaha ke arah itu perlu dinyatakan secara jelas bagi membolehkan rakyat melihat roadmap. Ini kerana memperkasakan Islam menjadi medan perjuangan PAS sejak awal ditubuhkan,” katanya di sini.

Kesungguhan itu dapat dilihat apabila dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (RUU355) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sedia dibawa ke meja rundingan bersama negeri-negeri.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary pada Mac lepas.

Malah mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Bil 159 turut diadakan pada 9 hingga 11 Mac lepas.
Marzuk juga menjelaskan pembentangan RUU 355 perlu ditertib apabila diambil sendiri oleh kerajaan. Dengan kata lain banyak prosedur sebelum dibentang di Parlimen.

Kehendak politik

Situasi itu jelas menggambarkan ada political will. Sedangkan sebelum ini roadmap tidak jelas. Keadaan itulah memaksakan PAS sebelum ini membawa RUU 355 secara usul persendirian.

Tentunya ramai masih lagi ingat. Pada 6 April 2017 Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 (Pindaan) 2016. Ketika itu pembangkang dibenarkan membawa usul tersebut.

Kerajaan pada masa tersebut dikuasai Umno dan Barisan Nasional (BN). Namun usul persendirian tersebut terhenti begitu sahaja, selepas kerajaan BN tumbang pada 9 Mei 2018.

Rakyat kemudian mengharap ada sinar selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) muncul. Malangnya tidak berlaku begitu. Sepanjang 22 bulan langsung tidak kedengaran isu RUU 355. Ia seperti dipateri dalam peti besi.

Malah ia tiba-tiba tenggelam dengan konsep Rahmatan Lil Alami. Kata Dr Wan Nik konsep itu biarpun pada asasnya baik, namun praktikalnya berbeza di bawah PH.

“LGBT muncul mengambil tempat sehingga dibenarkan menjalankan aktiviti mereka. Mungkinkah ini contoh kebersamaan yang cuba dibawa menteri agama ketika itu,” ujarnya.

Kesungguhan memperkasa perundangan Islam perlu digembling secara jelas. Setidak-tidaknya acuan diterjemahkan dalam manifesto sebagai persediaan awal menghadapi PRU15.

Maka mengambil kira kondisi itu, ia seakan menghidang pendirian yang lebih jelas bagi pengundi mencari juara meneruskan legasi di Putrajaya.

Bakinya sekarang isu pokok, mampukah PN dipertahan ketika konflik Umno-Bersatu belum berpenghujung. Namun ada pemerhati politik melihat isu itu bukan berkisar konflik antara parti.

Sebaliknya ramai yakin hubungan renggang Umno-Bersatu sekadar dipersembahkan segelintir pemimpin.

Lebih pelik lagi ketika polemik antara kedua-dua parti hangat, tiba-tiba ada pemimpin menyasarkan peluru terhadap PAS. Lalu disifatkan PAS beraksi di dua kolam.

Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) melontarkan konotasinya. Ia seumpama suami beristeri dua. Satu muda dan satu lagi tua.

“Ketika isteri pertama dan kedua tidak mesra satu sama lain, tidak semestinya si suami bercerai satu demi satu.

“Lebih baik suami berusaha memperbaiki hubungan mereka, itulah yang diharapkan PAS akan terjadi menjelang Ogos,” katanya.

Tidak kurang juga mendoakan usaha PAS menjadi pendamai akan menjadi kenyataan. Seperti kata blogger terkenal, tidak salah PAS mendamaikan kedua-dua parti terbabit.

Namun di sebaliknya nekad itu ada pula sarjana dari UiTM menganggap PAS akan menjadi mangsa. Kemelut itu disifatnya merugikan PAS. Benarkah begitu.

Tidakkah gabungan tiga kumpulan lebih kuat berbanding dua kelompok. Seperti kata Timbalan Presiden PAS Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, cukup-cukuplah kita berpecah.

Mesejnya sekarang sudah jelas. Ia seakan kelihatan samar-samar cahaya di hujung terowong. Namun untuk menjejaki hujung terowong sudah lumrah ada onak dan durinya. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -