Menteri Pelancongan, MB Terengganu berpantun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri, hari ini.

Bersempena Lawatan Kerja Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Nancy meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk beramah mesra bersama Ahmad Samsuri di kediaman rasminya di Seri Iman, Kuala Terengganu.

Turut sama dalam pertemuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman, Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Dr Noor Zari Hamat dan beberapa pengurusan tertinggi MOTAC.

Selepas pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu, beliau mengadakan sidang media Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bertempat di Hotel Raia, Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Nancy turut merasmikan Dataran Kampung Banggol Cempedak, Kuala Terengganu di Dataran Riverview kampung itu.

Menariknya, menerusi laman Facebook masing-masing, Nancy dan Dr Samsuri memuatkan pantun yang berkait dengan makanan popular negeri itu seperti iakn celup tepung, nasi dagang dan keropok lekor.

Pantun daripada Nancy:
Dari Putrajaya kami ke mari,
Ikan celup tepung menu hidangan,
Jalin kerjasama hajat di hati,
Jadikan ‘Beautiful Terengganu’ destinasi pilihan.

Pantun Dr Samsuri pula:
Nasi Dagang Atas Tol peneman sarapan,
Keropok lekor pula pelengkap hidangan,
Selamat datang pemanis ucapan,
Moga bumi Terengganu indah di pandangan.

Menurut Nancy, Terengganu mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri dengan pantai dan pulau yang cantik, kepelbagaian budaya yang unik dan juga sajian tempatan yang enak.

Justeru, katanya MOTAC komited untuk menaikkan industri pelancongan dan kebudayaan negeri tersebut dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM10,063,660.00 dalam pelbagai kategori projek untuk Negeri Terengganu bagi tahun 2020 sebanyak RM3,260,660 dan tahun 2021 sebanyak RM6,803,000.

Katanya, peruntukan tersebut disediakan kepada pelbagai agensi di Negeri Terengganu sama ada agensi persekutuan seperti Lembaga Muzium, KETENGAH, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

“Saya juga memaklumkan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad bahawa dianggarkan sebanyak RM459,000 bantuan PEMERKASA diperuntukkan untuk penggiat industri di Negeri Terengganu.

“Alhamdulillah sebahagian daripadanya telah menerima pakej-pakej bantuan ini,” ujarnya.

Beliau mewakili Kerajaan Persekutuan turut memanjangkan penghargaan atas jalinan kerjasama itu.

“Semoga apa yang kita usahakan ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan dan kemajuan dalam sektor pelancongan di Negeri Terengganu khususnya pembangunan fizikal dan fasiliti serta naik taraf kepada produk pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.

Dr Samsuri pula yang mewakili kerajaan negeri, saya ingin berterima kasih kepada pihak MOTAC yang telah memperuntukkan RM10,063,660.00 dalam pelbagai kategori projek bagi negeri itu tahun 2020/2021 untuk menaikkan industri pelancongan dan kebudayaan negeri. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -