Bersatu atas nama Islam-Melayu – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohamad Hasan menyangkal dakwaan sesetengah pihak berhubung wujud pergolakan melibatkan perpaduan ummah dalam kalangan orang Melayu.

Mohamad bagaimanapun berkata, meskipun wujud sedikit pergeseran dalam kerjasama antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merealisasikan agenda perpaduan ummah, namun ia berjaya ditempuhi dengan baik dan lancar.

“Saya mempunyai pandangan yang berbeza. Pada saya, kedudukan perpaduan orang Melayu tidaklah terlalu meruncing. Sesekali sudah pasti ada sedikit kocakan di sana dan sini. Itu lumrah. Bumi mana tidak ditimpa hujan,” ujarnya

Malah katanya, kedudukan perpaduan orang Melayu semakin kukuh dan erat kerana tidak dilihat dalam konteks politik semata-mata.

- Advertisement -

“Semenjak Umno dan PAS menerokai jalan perpaduan, orang Melayu dalam kedua-dua parti besar ini semakin erat dan akrab, sehingga membuahkan pelbagai kejayaan dalam beberapa PRK yang lepas. Kita leraikan pergeseran silam, kita bersatu atas nama Islam dan Melayu.

“Jadi, janganlah perpaduan ummah itu, pada kita tidak lebih dari sekadar parti-parti Melayu duduk bersama dalam sebuah perikatan politik.

“Tafsiran sebegini sangat cetek. Ini kerana, jumlah orang Melayu yang diwakili oleh kedua-dua parti besar Melayu sebenarnya hanyalah dalam lingkungan 4 juta sahaja.

“Sedangkan, berbelas-belas juta lagi orang Melayu di luar sana yang tidak berparti, tidak menyertai Umno dan PAS, apatah lagi PPBM. Namun mereka membentuk sebahagian ummah yang kita sebut-sebutkan ini,” katanya lagi.

Oleh demikian katanya, seruan perpaduan ummah perlu difahami dalam konteks yang lebih besar dengan tujuan menyatukan semua orang Melayu merentas ideologi politik, kepentingan kuasa dan status sosial.

“Ia mesti menjangkaui laba politik dan tidak menjadi sekadar strategi untuk menang dalam pilihan raya. Sedangkan nasib dan masa depan ummah belum tentu akan dipedulikan selepas itu.

“Atas dasar itu, saya ingin membuat penegasan penting bahawa sebagai gerakan yang telah lama memperjuangkan orang Melayu, iltizam Umno terhadap kepentingan ummah jangan sesekali dipersoalkan.

Mohamad, dalam ucapannya itu turut mengkritik sikap segelintir pemimpin politik yang mempertikaikan kewibawaan partinya terhadap usaha ke arah perpaduan ummah.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno, kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno, kalau yang tuan-tuan tahu, hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa. Termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu.

“Mereka inilah yang sebenarnya anti perpaduan Melayu. Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap bercakap tentang perpaduan bangsa.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah. Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah.

“Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan Umno dan bangsa Melayu. Saya tegaskan dengan setegas-tegasnya. Bahawa perpaduan bangsa Melayu, adalah cita-cita besar yang Umno telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, hari ini.

Turut meraikan ucapan perasmian hari ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh. – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -