Jangan cari jalan rugi

- Advertisement -

POLITIK yang akan mendapat tempat di Malaysia hari ini adalah politik perpaduan dan penyatuan ummah. Rakyat mengalu-alukannya kerana serik dan bencikan perpecahan. Kita bertanggungjawab memastikan bumi dipijak ini kekal menjadi milik penduduk majoriti dalam negara dan untuk mencapainya tiada cara lain melainkan semua parti-parti berteraskan Melayu Islam bersatu dan bermuafakat. Jangan lagi bercerai-berai.

Bersama kita bina kekuatan politik bertunjangkan Islam. Dan atas binaan kukuh ini kita buktikan kemampuan kita memberikan keadilan dan kesejahteraan buat semua. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’ menyebut:

- Advertisement -

“Semestinya menjadi satu kewajipan perpaduan yang telah kita bina ini diteguhkan lagi agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada sesiapa yang menegakkan agama-Nya.”

Mesej jelasnya semua pihak perlu berlapang dada, berjiwa besar, berkorban dengan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara sebagai keutamaan. Saya cukup tersentuh dalam saat kita mencari jalan keluar masih ada pimpinan muda yang matang dan berpandangan jauh. Ramai yang wajar berpandangan sebagaimana beliau. Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam posting Facebook-nya menyebut:

“Sangatlah rugi Umno yang mewakili kelompok besar pengundi Melayu ini diketepikan begitu sahaja dan juga rugi BERSATU yang mempunyai kedudukan di puncak kuasa tidak disertakan bersama dalam pakatan ini.

“Berunding. Hentikan api pertembungan. Jika pertikaian kerusi menjadi punca, bertolak ansurlah. Ada yang kita dapat, dan tentunya ada yang kita perlu lepaskan. Takkanlah kerana kerusi yang terlepas, kita tergamak tiupkan gendang perang?,” 

Pesan Tuan Guru Presiden PAS lagi: 

“Hari ini kita berjaya dalam usaha Wahdah Ummah bersama Islam, maka pertahankan perpaduan ini dengan penuh kesabaran dalam menghadapi masalah dalaman umat dengan meneguhkan titik persamaan dan bertoleransi dalam perbezaan.”

Lantas bangkit dan insaflah para pimpinan Melayu Islam. Sedarlah bahawa sekarang ini giliran kita, syaratnya berpegang teguh pada tali Allah ini dan jangan lagi bersengketa. Ingat, kiranya kita gagal kali ini maka bersedialah disumpah dan dipersalahkan oleh anak cucu kita buat selama-lamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -