PAS menyiram api kemarahan yang marak menyala

- Advertisement -

DI SAAT PAS bertungkus lumus menyatukan ummat. Ada bara yang ditiup. Pimpinan yang sepatutnya menjadi pendamai menjadi punca bara marak menyala. Bertuahlah PAS miliki pimpinan yang menyiram kemarahan itu. Ahli yang terasa bahang panasnya mula bangkit bersuara, namun pimpinan bingkas menyorotkan panduan al-Quran.

Bukan mudah menyatukan. Ia dicemburui syaitan dan segala bala tenteranya. Menyingkap sejarah Ansar, hampir meletus kembali peperangan. Angkara Munafiq dan Yahudi yang terbakar hatinya melihat kesatuan dan kemesraan Aus dan Khazraj.

- Advertisement -

Yahudi bukan tak tahu benar dan salah. Cuma Yahudi kecewa kerana di saat puncak kuasa berada di tangan mereka, bagai dirampas dengan kedatangan Rasulullah. Kerana kuasa, kerana ingin menjaga kepentingan diri, lalu dihasut umat bersadur semangat Jahiliyyah.

Mujur di kala itu masih ada Rasul. Api yang bernyala padam tiba-tiba. Rasul mulia menyedarkan mereka. Kini Rasul tiada lagi namun Quran dan Sunnah masih memandu kita. Sirah menuntun bagaimana pengorbanan Ansar menyambut Muhajirin. Berkongsi apa dimiliki walau mereka tuan di tanah Madinah.

Al-Quran melakar kebencian Abdullah bin Ubay… ‘Jangan beri bantuan kepada mereka yang bersama Rasul…  Kita akan menghalau mereka dari bumi kita…’. Demikian angkuh suara… 

Bukan menyamakan sesiapa dengan Rasul. Juga tidak menserupakan rakan seumpama Yahudi… Sekadar mengingat pesanan Nabi… Sekadar mengajak bersatu hati… 

Pimpinan hanya ada suara, namun kita yang ada daya. Biar seruan mereka meruntuhkan ikatan yang dibina. Ayuh jadikan daya kita mengukuhkannya. Biar akhirnya suara mereka sumbang dan terasing dari massa. Kita cari suara penyatu. Kita lupakan suara mengajak berseteru.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -