Kerajaan PN pamer komitmen luar biasa

- Advertisement -

SEPANJANG lebih setahun Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, pelbagai rencana dan strategi pemulihan ekonomi dilaksanakan kerajaan.

Bermula dengan Pakej Prihatin, Penjana, Permai, i-Lestari, BPN-BSH, moratorium, subsidi upah dan terbaru pula Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.

Dengan nilai keseluruhan RM20 bilion adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk meringankan beban yang sedang ditanggung rakyat, di samping memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi.

Malah ramai penganalisis dan sarjana menyifatkan Kerajaan PN menunjukkan komitmen luar biasa dengan memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan usaha pemulihan ekonomi secara berterusan.

- Advertisement -
Dr Madeline Berma

Penganalisis Ekonomi, Dato’ Dr Madeline Berma berkata, Pemerkasa merupakan pakej rangsangan yang keenam yang diperkenalkan untuk menangani kesan Covid-19.

Katanya, fokus Pemerkasa dilihat sedikit berbeza daripada pakej rangsangan sebelum ini.

Ini kerana kata beliau kelima-lima pakej rangsangan sebelum ini memfokus kesejahteraan kehidupan rakyat serta menyokong small and medium enterprise (SMEs).

“Kerajaan lebih mengutamakan nyawa (kesihatan) dan kelangsungan kehidupan rakyat (pendapatan dan pekerjaan). 

“Pemerkasa dilihat memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, projek kecil untuk meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan, perdagangan antarabangsa, pembangunan sektor pelancongan, pembiayaan Perusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

“Bantuan lebih bersasar untuk memastikan ia meningalkan dampak positif kepada golongan sasar dan mengelakan ketirisan,” katanya ketika dihubungi di sini. 

Pakej rangsangan Pemerkasa diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan kepada 20 inisiatif strategik serta memfokuskan terhadap lima perkara utama dalam mengawal pandemik Covid-19 bagi memulihkan ekonomi negara.

Elak beri bantuan tunai

Dr Madeline turut mencadangkan kerajaan mengurangkan pemberian bantuan tunai langsung kepada golongan berpendapatan rendah sebaliknya membantu mereka dengan merancakkan ekonomi dengan menambahkan pelaburan domestik dan antarabangsa.

Dr Aimi Zulhazmi

Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, suntikan RM20 billion termasuk suntikan tunai sebanyak RM11 bilion yang dikira sebagai jumlah besar untuk pemulihan ekonomi negara.

Katanya ia menjadi kesinambungan pakej bantuan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion.

Selain itu sejumlah besar Belanjawan 2021 yang diluluskan Disember lepas menambah baik untuk membantu rakyat dan merancakkan sektor perniagaan.

“Pemerkasa dilancar pada waktu yang tepat bertujuan menyegerakan pemulihan ekonomi negara yang menunjukkan tanda-tanda positif dengan peningkatan eksport dan lebihan dagangan memberangsangkan bagi Disember 2020 dan Januari 2021.

“Pemulihan dan pembukaan perniagaan bagi golongan usahawan PKS memerlukan bantuan untuk kembali beroperasi seperti membayar gaji, modal pusingan, sewa dan lain-lain lagi,” katanya.

Oleh itu, bantuan Pemerkasa disasarkan kepada sektor PKS dengan pemberian tunai, pinjaman mudah dan subsidi gaji pekerja.

Namun katanya, perlu diingat bahawa kepentingan PKS yang melibihi 900,000 menyumbangkan hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan majikan kepada hampir 60 peratus daripada keseluruhan tenaga pekerja di Malaysia.

Ujar beliau hampir 90 peratus sektor ekonomi kembali dibuka semula kecuali sektor pelancongan yang masih dihadkan dengan larangan merentas negeri.

Pun begitu kata beliau masih terdapat banyak hotel ditutup dan terdapat ramai daripada sektor pelancongan masih lagi mengganggur.

Bangun ekonomi domestik

“Bagaimanapun kerajaan perlu membangunkan ekonomi domestik bagi mengelak terlalu bergantung kepada pasaran eksport.

“Selain itu pandemik Covid-19 menunjukkan perlunya Malaysia menyusun semula ekonomi negara dengan lebih ampuh dan kukuh bagi mencapai hasrat menuju negara maju.

“Sebagai contoh Malaysia tidak boleh bergantung terus kepada tenaga buruh asing yang dianggarkan antara tiga hingga lima juta orang yang bekerja bagi hampir kesemua sektor ekonomi negara ini,” tambahnya.

Malah kata beliau industri perkilangan yang berteraskan kos rendah dengan tenaga buruh yang diimport juga menyebabkan salah satu faktor berleluasa pandemik Covid-19.

Tambahnya, Malaysia juga tidak lagi mampu bersaing dengan negara-negara jiran yang bukan sahaja mempunyai pasaran yang lebih besar namun, tenaga buruh yang murah dengan kecekapan yang semakin meningkat.

Situasi itu memerlukan Malaysia menarik pelaburan asing (FDI) yang bersasar dengan membawa teknologi tinggi, pembangunan dan penyelidikan bagi mewujudkan kemahiran rakyat Malaysia.

Ini kerana hampir 400,000 graduan dikeluarkan setiap tahun yang dilihat lebih sesuai dengan kedudukan Malaysia.

Selain itu ekonomi Malaysia secara tidak langsung dibantu untuk mempercepatkan pendigital ekonomi sebagai kesan positif dari pandemik Covid-19.

Disamping itu, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit membaiki kemudahan saluran internet ke seluruh negara serta mempercepatkan jaringan 5G dalam pelbagai program seperti Jalinan Digital Negara (Jendela).

GLC selia ekosistem e-Commerce

Namun begitu, beliau turut berpandangan bahawa, kerajaan harus mewujudkan ekosistem melibatkan agensi dan syarikat tempatan yang dapat membantu merancak ekonomi negara.

Bukan sahaja e-Commerce tetapi dirangkumkan dengan rangkaian logistik dan fintech milik tempatan.

“Pada saat ini kita melihat MNCs seperti Lazada, Shoppee, Amazon yang mendominasi pasaran e-Commerce negara termasuk mempunyai syarikat-syarikat logistik mereka sendiri serta menawarkan penggunaan  kemudahan fintech seperti e-wallet di seluruh negara,” ujarnya.

Keadaan ini bukan sahaja dapat mengaut keuntugan sebaliknya mengumpulkan data-data (maklumat) tentang ragam rakyat Malaysia secara tidak langsung.

“Seharusnya GLC tempatan mesti mengawal dan menyelia ekosistem e-Commerce bukan sahaja untuk pembangunan teknologi tetapi juga keselamatan negara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pendemik Covid-19 dilihat memberi peluang kepada Malaysia untuk menyusun semula ekonomi negara bagi menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kita beruntung mempunyai pelbagai sumber alam dan seharusnya kita perlu melangkah lebih jauh dengan sumber alam yang dibekalkan untuk menjadi sebuah negara yang maju dengan menguasai teknologi berkemahiran tinggi.

“Kekuatan politik diperlukan untuk berani mengubah arah ekonomi negara daripada terperangkap dalam middle income trap untuk menjadi fully industrilised nation seperti yang diimpikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -