Majlis akad nikah di Pahang ikut ruang masjid

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Pahang memberi kelonggaran berkaitan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri itu mulai hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, ia turut bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara sekarang.

- Advertisement -

Katanya aktiviti diperluaskan meliputi kuliah dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardhu ain.

“Selain itu Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan bacaan Yaasin dan tahlil jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu juga dibenarkan,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini Pahang hanya membenarkan kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh sahaja.

Kelonggaran itu mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar juga berkata, turut dibenarkan kehadiran pada majlis akad nikah di masjid, dengan berdasarkan ruang yang ditetapkan sedangkan sebelum ini kehadiran terhad kepada hanya 20 orang.

Kata beliau juga had umur bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat fardu kanak-kanak usia tujuh tahun dan ke atas dibenarkan.

“Sungguhpun begitu perkara-perkara lain berkaitan SOP sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.

“Semoga dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi kita dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau kita, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -