Ku Li patut jadi pendamai bukan ‘pemanas’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ungkapan ‘PAS macam pelacur’ oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah sangat keterlaluan dan tidak sepatutnya diungkapkan oleh seorang yang sudah lama berkecimpung dalam dunia politik.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, beliau sangat terkejut dengan ungkapan sedemikian dan menyifatkan veteran politik Umno itu sepatutnya menjadi sebagai pendamai bukan ‘pemanas’.

“Saya terkejut dengan ungkapan oleh orang lama dalam Umno itu, sepatutnya dia (Tengku Razaleigh) orang lama ini menjadi sebagai pendamai bukan ‘pemanas’.

“Sepatutnya beliau menjadi seorang yang mencurahkan air, bukan mencurahkan ‘petrol’ yang membakar dalam kerjasama dua parti Melayu dan agenda perpaduan ummah ini,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

- Advertisement -

Hari ini, portal media The Malaysian Insight yang bertajuk ‘PAS macam pelacur, kata Ku Li’ telah melaporkan kenyataan Tengku Razaleigh yang berbunyi; ‘Umno perlu menentang PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang kerana parti Islam itu tidak boleh dipercayai lagi.’

Katanya, walaupun PAS bersama Umno menubuhkan Muafakat Nasional dua tahun lalu, parti itu tidak ikhlas apabila tiba masa pilihan raya.

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru.

“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata Tengku Razaleigh.

Umum sedia maklum PAS dan Umno telah pun mengadakan kerjasama politik di bawah Muafakat Nasional (MN) demi untuk penyatuan ummah.

Mengulas lanjut, Idris turut mempersoalkan kenapa baru sekarang veteran Umno itu membangkitkan perkara itu, sedangkan selama 22 bulan Umno menjadi pembangkang sebelum ini tidak pula diperkatakan.

“Sebagai orang veteran dalam Umno yang mengetahui segalanya, kalau dah kenal (PAS) lama, kenapa pada peringkat awal dia tidak bangkit bab ini, ketika Umno jadi pembangkang selama 22 bulan?” soalnya.

Bagaimanapun, beliau menganggap kenyataan Tengku Razaleigh adalah pandangan peribadi dan bukan pandangan parti Umno.

Katanya, sehingga kini kerjasama antara PAS dan Umno dalam MN sangat baik dan mesyuarat dwimingguan MN sentiasa berjalan.

“Pada saya mungkin ini pandangan peribadi beliau. PAS bekerjasama antara parti dengan parti. Kerjasama dalam MN mesyuarat dwimingguan berjalan terus.

“Kita tidak ambil cakna sangat dengan ungkapan dan kenyataan daripada mereka yang cuba untuk membawa satu naratif yang lain.

“Agenda perpaduan kita pada mahu pastikan supaya PH tidak kembali berkuasa di Malaysia. Kalau ada orang yang nak bersikap demikian terpulang kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, dalam mesyuarat MN telah bersetuju bahawa tidak akan bekerjasama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan memastikan PH tidak akan kembali menerajui tampuk pemerintahan negara. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -