Masjid Sharifah Fatimah memenangi Anugerah Perdana SPMM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masjid Sharifah Fatimah, Jitra, Kedah memenangi Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM).

Keputusan itu diumumkan secara langsung di dalam rancangan Assalamualaikum TV AlHijrah, pagi tadi.

Pengiktirafan itu melayakkan Masjid Sharifah Fatimah membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis yang diadakan di Pusat Penyiaran Digital TV AlHIjrah.

- Advertisement -

Masjid Sharifah Fatimah yang pernah dinobat masjid terbaik peringkat negeri juga memiliki keindahan sekeliling antaranya tanaman pohon kurma dan tanaman lain yang menggamit suasana indah.

Sebanyak 28 buah masjid negeri-negeri seluruh negara telah dicalonkan untuk penilaian SPMM Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.

Anugerah Masjid Malaysia adalah anugerah berprestij yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama TV AlHijrah selaku rakan penyiar rasmi.

Bagi Imam Masjid Sharifah Fatimah, Mohamad Fida’iy Zainal Abidin, kemenangan itu adalah hasil keprihatinan ahli jawatankuasa dan jemaah masjid yang memberikan sumbangan tidak terhingga.

“Mereka memberikan sumbangan wang ringgit, tenaga dalam mengimarahkan Masjid Sharifah Fatimah. Moga-moga Allah SWT membalas jasa anda semua,” katanya dipetik AlHijrah Online.

Pemenang bagi lain-lain kategori sebagaimana berikut:

Anugerah Pengurusan Dinamik: Masjid Saidina Abu Bakar, Wilayah Persekutuan
Anugerah Masjid Berkebajikan: Masjid Kota Damansara, Selangor
Anugerah Lanskap Komersial: Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak
Anugerah Mesra Komuniti: Masjid As-Sobirin, Perlis
Anugerah Pengurusan Bestari: Masjid Sharifah Fatimah, Kedah
Anugerah Pengimarahan Kreatif: Masjid Dato’ Kelana Petra, Negeri Sembilan dan Masjid Abdullah Fahim, Pulau Pinang
Anugerah Kelestarian Komuniti: Masjid Ar-Rahmah, Melaka
Anugerah Pengimarahan Berimpak: Masjid Al-Jawahir, Johor
Anugerah Pengimarahan Solat: Masjid Taman Temerloh Jaya, Pahang
Anugerah Khidmat Komuniti: Masjid Nur Bakti, Terengganu
Anugerah Komuniti Prihatin: Masjid Ismail Petra, Kelantan
Anugerah Pengimarahan Etnik: Masjid An-Nur, Sarawak
Anugerah Pengimarahan Strategik: Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sabah

Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan sijil penyertaan. – HARAKAHDAILY 12/3/2021