Hukum sulam bedak

Foto hiasan.

Soalan:

Assalammualaikum, saya ada persoalan berkaitan rawatan kosmetik seperti sulam bedak yang akan menampakkan wajah kelihatan sentiasa pakai bedak. Apakah hukum memakai sulam bedak memandang terdapat proses memasukkan bedak ke dalam pigmen kulit? Mohon pencerahan S.S Mufti, terima kasih.

Ringkasan jawapan:

Rawatan sulam bedak semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) diharuskan berdasarkan ketetapan berikut:

Selagi ia tidak mengubah ciptaan Allah
Tanpa sebarang perubahan yang bersifat kekal
Tidak terdedah pada risiko bahaya
Bahan yang digunakan mestilah daripada sumber yang diyakini halal.
Tidak menghalang air sampai ke permukaan kulit muka

Sulam bedak yang dibuat bertujuan merawat wajah untuk menghilangkan kusam, bintik-bintik hitam, panau, jeragat dan jerawat adalah dibolehkan sekiranya ingin menutup aib dan cela pada wajah di samping mendapatkan nasihat pakar kulit.

Sekiranya sulam bedak daripada bahan yang diharamkan atau risiko memudaratkan, maka haram penggunaannya hanya semata-mata untuk kecantikan.

Sementara, haram menggunakan sulam bedak yang bersifat kekal seperti proses sulam bedak menggunakan teknik sama seperti tatu.

Advertisement

Huraian jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Proses sulam bedak

Sulam bedak (BB FACE GLOW / WATER SHINE BB GLOW) melalui proses memasukkan bedak ke dalam pigmen kulit menggunakan Micro Needle Theraphy System Derma Rolling. Sulam bedak bertujuan mengurangkan pigmentasi, bintik hitam, bekas jerawat, tona kulit tidak sekata, menutupi pori dan kulit kusam menjadi cerah serta merta dengan rawatan ini. Serum bedak asas berpigmen akan ditusuk ke permukaan kulit (lapisan atas) dan kekal dalam beberapa minggu. Ini menampakkan wajah seolah telah memakai bedak [1].

Derma Pen dengan microneedles menggunakan teknologi nano jarum digunakan untuk menerapkan serum ke kedalaman kulit. Jarum mikro ke lapisan atas kulit dengan kelajuan dan kedalaman jarum dapat disesuaikan mengikut kawasan kulit yang sedang dirawat. Kedalamannya antara 0.25 hingga 1.5 milimeter. Aplikasi dilakukan dengan menggunakan pergerakan bulat selama 7 hingga 10 minit untuk setiap kawasan muka. [2]

Terdapat dua jenis rawatan sulam bedak iaitu sulam bedak separa kekal (semi-permanent foundation) dan sulam bedak kekal. Menurut pengusaha kecantikan dalam akhbar Metro menyatakan kaedah rawatan sulaman bedak separa kekal menggunakan jarum nano dermapen dan serum krim BB. Ia tidak rasa sakit kerana serum itu diletakkan sedikit demi sedikit pada wajah sebelum digelek ke seluruh wajah menggunakan jarum. Ia dapat membantu kulit wajah menjadi bersih dan berseri. Sementara itu, kaedah sulam bedak kekal (tatu) menggunakan teknik sulaman menggunakan jarum mikro dan warna yang dimasukkan dalam lapisan kulit bersifat kekal selama sekurang-kurangnya setahun.[3].

Persoalannya, adakah sulam bedak boleh disamakan dengan tatu yang bersifat kekal? Maka perkara yang perlu diperhalusi ialah teknik penghasilan tatu.

Tatu (menanam warna pigmen ke dalam kulit) adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil dan akan menjadi kekal. Tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum.[4] Justeru, perbezaan sulam bedak dengan tatu ialah tidak kekal kerana serum bedak dimasukkan ke lapisan atas kulit (epidermis) berbanding tatu yang kekal disebabkan memasukkan warna dalam lapisan kulit kedua (dermis).

Kesan sampingan sulam bedak

Rawatan BB Glow dikatakan 100 peratus selamat walaupun dalam aplikasi jangka panjang sekiranya bahan berkualiti tinggi dan alat steril digunakan dan rawatan tersebut diberikan oleh profesional terlatih. Teknologi jarum mikro menghalang jarum masuk ke dalam kulit. Oleh itu, tidak ada kerosakan pada kulit. Secara umum, prosedurnya selesa namun kesannya ialah, kebas, tegang pada kulit dapat dirasakan. Tambahan pula, serum BB bebas daripada alkohol, alergen, benzofenon, pewangi, formaldehid, paraben, minyak mineral, atau pewarna sintetik. Kemungkinan kesan sampingan sangat jarang dan kecil, namun ini mungkin termasuk rasa sakit, kemerahan, atau jangkitan.[5]

Walau bagaimanapun, sebilangan besar risiko BB Glow berkaitan dengan bahan yang disuntik. Ini mungkin termasuk kepada reaksi alahan, dermatitis kontak (ruam gatal), jangkitan, PIH (Pigmentasi pasca-inflamasi), granuloma (parut), toksik organ, kerosakan sel, dan barah (kesan akan datang).[6]

Justeru, sekiranya rawatan sulam bedak tersebut terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan, maka sebaiknya memilih rawatan kosmetik bagi menutup aib dan cela pada wajah dengan kaedah yang terjamin keselamatannya. Kosmetik yang boleh mendatangkan kemudaratan pada kulit wajah perlu dielakkan. Sebelum menggunakan sebarang solekan kosmetik perlu merujuk kepada pakar terlebih dahulu. Sekiranya penggunaan sulam bedak memberi risiko bahaya dan diakui oleh pembuktian kajian saintifik yang menyatakan sulam bedak mendatangkan risiko (mafsadah) yang lebih besar berbanding manfaatnya maka ia dilarang atas kemudaratan yang berlaku. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

دَرْءُ المفَاسِدِ أَولى مِنْ جَلْبِ المصَالِح

Maksudnya: “Menghindari kerosakan lebih utama daripada memperolehi kebaikan.”
(Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, al-Subki (1/105)

Penghujahan dalil

Rawatan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Allah melaknat wanita-wanita yang bertatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. (Riwayat Muslim, 2125)

Ancaman laknat “لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya (Lihat Fath al-Bari 10/377). Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah:

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم

Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna mereka buat perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada hukum haram. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan. Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi, maka dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan pengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.

Kata Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini:

وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ يُفْهَمُ مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَةَ مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْنِ فَلَوِ احْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ

“Dan wanita-wanita yang menjarakkan gigi untuk kecantikan difahami daripada hadis bahawa ia adalah satu bentuk perbuatan mazmumah, dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana keperluan kepada perubatan maka diharuskan. (Rujuk Fath al-Bari, 10/372-373)

Penutup

Setelah meneliti dalil yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa rawatan sulam bedak yang bertujuan untuk menutup cela pada wajah seperti bintik-bintik hitam, tona kulit yang sekata, memudarkan parut jerawat adalah harus selagi ia tidak mengubah ciptaan Allah, tiada unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang asli mahupun terdedah pada mudarat selain memastikan bahan yang digunakan halal dan tidak menghalang air sampai ke kulit. Tambahan pula, tujuan penggunaan produk kosmetik hanya sekadar menutupi pucat pada wajah selain melengkapkan penampilan zahir yang merupakan perkara tahsiniyyah selagi tiada unsur solekan yang mengubah bentuk asal. Harus merawat wajah untuk menghilangkan bintik-bintik hitam, panau, jeragat dan jerawat sekiranya lebih cantik jika dihilangkan. Tambahan pula, kaum wanita diharuskan untuk bersolek agar tampil cantik di hadapan suaminya. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah). Adapun, rawatan kosmetik sulam bedak bersifat kekal seperti kaedah tatu mahupun mendatangkan risiko adalah dilarang.

Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah SWT ciptakan untuk hamba-hamba-Nya. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

[1] https://www.scribd.com/document/460703505/sulam-bedak, https://www.docdroid.net/BTBqnwk/course-program-uk-plasma-bb-glow-pdf#page=21
[2] https://www.bbglow.com/step-by-step-for-bb-glow.c7.html
[3] https://www.hmetro.com.my/WM/2019/09/499901/rawatan-sulam-bedak-metrotv
[4] http://www.myhealth.gov.my/tatu/
[5] https://www.bbglow.com/bb-glow-all-you-need-to-know-about-the-latest-korean-trend.c9.html
[6] https://needlingguide.com/bb-glow-microneedling-risks benefits/?fbclid=IwAR33nXotn5IVNXavsMkrWSikC6Hrm0rCSS7CldTDE12VNSC5z9dTFlEIlRU

(Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad al-Fatwa yang diterbitkan 27 Februari 2021.)