Hasil getah kurang, penoreh di Naka ‘hambat’ ikan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA NERANG: Februari hingga Mei merupakan musim daun getah gugur atau istilah industrinya wintering season yang juga menyebabkan kemerosotan pengeluaran susu getah, sekali gus menjejaskan pendapatan penoreh.

Justeru demi kelangsungan hidup, mereka, khususnya pekebun kecil di pedalaman, melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga termasuk mencari hasil hutan, atau bagi sekumpulan penoreh di Kampung Tanjung Piring, Naka dekat sini, ‘menghambat ikan’.

Turut dipanggil ‘mengerau ikan’, aktiviti itu sebenarnya satu taktik unik masyarakat setempat yang memanfaatkan kecetekan paras air sungai akibat kemarau bagi menangkap ikan air tawar sejak puluhan tahun dahulu.

Berkongsi kaedah menghambat ikan itu dengan Bernama di sini, Che Hat Ismail, 75, berkata kegiatan itu menjadi aktiviti harian penduduk setiap kali musim daun getah gugur saban tahun bagi menambah rezeki, sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual.

- Advertisement -

“Taktik ini memerlukan peserta bekerjasama membentuk dua kumpulan, iaitu pengepung dan penghambat ikan. Tugas pengepung ialah memasang pukat melintangi sungai sementara penghambat pula akan berjalan beramai-ramai dari hulu sungai sambil membuat bising termasuk memukul permukaan air,” katanya.

Menurutnya, bunyi bising tersebut menyebabkan ikan keluar dari tempat persembunyian dan berenang ke kawasan kepungan di hilir sungai.

Che Hat berkata, antara ikan yang biasa diperoleh menerusi kaedah itu ialah lampam, sebarau, terbul dan baung.

Seorang lagi penoreh, Muhd Fauzi Jalil, 39, pula berkata aktiviti itu biasanya dilakukan pada tengah hari hingga lewat petang.

“Biasanya setiap kali menghambat ikan, saya dan rakan-rakan berjaya memperoleh sekitar 30 hingga 40 kilogram ikan yang kemudian kami bahagikan sama rata,” katanya.

Bagi Abdullah Ismail, 46, pula, dia memilih ke hutan untuk mencari buluh yang kemudian akan dijual, namun jika terjumpa lokasi sesuai, akan turut menghambat ikan.

“Ikan-ikan yang saya dapat biasanya dibawa pulang untuk hidangan keluarga, tetapi kalau ada permintaan daripada rakan-rakan saya akan jual,” katanya, menambah melalui kegiatan sampingan itu dia dapat memberikan kehidupan yang agak selesa untuk keluarganya, di samping hasil getah kira-kira RM400 seminggu. – BERNAMA

- Advertisement -