Covid-19: Perkembangan terkini sangat positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika seluruh dunia berhempas pulas berusaha tangani Covid-19, perkembangan terkini sangat positif, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, 193 juta dos vaksin telah dilaksanakan di 87 negara dengan purata setiap hari 6.45 juta dos disuntik.

Beliau menambah, di negara yang telah lebih dua bulan memulakan program vaksinasi, angka jumlah kes baru Covid-19, yang dimasukkan ke hospital dan angka kematian menurun dengan mendadak.

Katanya, kesan sampingan yang teruk, anaphylaxis sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.

- Advertisement -

Tambahnya, tiada kes kematian yang disahkan berkaitan langsung berpunca vaksin Covid-19 setakat 193 juta dos hari ini.

“Ini memberikan sinar harapan kepada seluruh dunia bahawa pandemik Covid-19, insya-Allah akan dapat diatasi dengan kebanyakan negara mula meletakkan sasaran mencapai imuniti kelompok di negara masing-masing,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau berkata, sudah tentu mengambil sedikit masa sebelum gaya hidup boleh dikembalikan kepada kehidupan biasa dan prosedur standard operasi (SOP) hendaklah terus diamalkan.

Menurutnya lagi, jika pandemik Covid-19 dapat dikawal, kegiatan ekonomi boleh kembali rancak dan kemakmuran hidup boleh dikembalikan.

Kejayaan ini, ujar beliau sudah tentulah dengan ikhtiar dan pelbagai usaha yang dilakukan terutama Program Imunisasi Covid-19 yang menjadi agenda utama di seluruh dunia.

“Bagi kita umat Islam, yang mutlak adalah dengan ketentuan Allah SWT jua,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi beliau, malang sungguh jika masih berpendirian negatif dengan ikhtiar yang penting itu, lebih-lebih lagi jika mahu kaitkan dengan ‘Islam’ sedangkan fatwa dan kesepakatan ulama sangat jelas dalam soal itu.

“Ketika pandemik Covid-19 berjaya dikawal suatu hari nanti, ikhtiar dan perjuangan melawan Covid-19 ini akan menerima kesaksian seluruh dunia,” katanya.

Beliau menambah, ia kolaborasi besar, kerjasama pelbagai negara, perkongsian maklumat saintifik, kemudahan pengeluaran dan pengilangan, kawal seliaan sehingga ia dijayakan.

“Yang negatif dan merungut tanpa ikhtiar dan usaha yang jelas menangani Covid-19 akan dipersoalkan apa peranan yang disumbangkan.

“Bagaikan ketika negara diserang musuh, semua orang ke medan juang, kita pula duk bertelagah pertikai semua perkara. Ketika semua pulang dari medan dengan kejayaan, kita ni dah jadi apa sebenarnya?” katanya

Dalam sejarah kegemilangan Islam, jelas beliau Islam sentiasa tampil menyerlah menyelesaikan dan menyelamatkan permasalahan dunia.

Menuru Amzad, untuk bencana Covid-19, saintis Islam mencipta vaksin Pfizer-Biontech yang mempunyai keberkesanan paling tinggi 95 peratus.

“Jika kita belum mampu jadi sebahagian dari kejayaan ini nanti, jangan letakkan imej Islam sebagai penghalangnya kononnya atas retorik ‘agenda Yahudi, Illuminati atau macam macam lagi’,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -