Rasa tidak puas hati bila tiada jawatan?

- Advertisement -

TAK TAHULAH dari mana budaya tak puas hati bila tak dapat jawatan ini. Yang pasti ia bukan budaya Islam. Sepatutnya kalau ada orang sanggup ambil sesuatu jawatan dari kita, kena bersyukur. Mujur baru. Ringan satu beban yang akan dipersoalkan di akhirat.

Lebih-lebih lagi kalau jawatan itu melibatkan kepentingan awam. Kalau hak 1,000 orang ditentukan dengan kuasa yang ada pada 1 jawatan, tuhan akan tanya satu persatu hak 1,000 orang itu. Kalau lepas jawab, Alhamdulillah. Kalau tak lepas, makan tak habis woo..

Para Sahabat yang banyak berperang zaman pembukaan kota Islam, bila berjaya buka, mereka tak terasa hati pun kalau tak dilantik jadi pentadbir. Sebaliknya mereka terus buka kota lain pula. Mati mereka dalam medan jihad futuuhat.

- Advertisement -

Berperang tak sama peranan dengan mentadbir. Pandai politik tak semestinya pandai mentadbir. Lepas Fathu Makkah, banyak jawatan Makkah Nabi bagi pada penduduk Makkah yang baru sahaja peluk Islam. Yang berhempas pulas buka kota orang lain.

Kena faham, jawatan bukan ghanimah. Ia amanah. Tak semestinya bila menang, orang yang berusaha memenangkan Islam itu kena bagi dia jawatan. Malangnya, banyak perjawatan terpaksa diberi pada orang tertentu hanya kerana takut orang itu merajuk. Bukan dinilai berasaskan kelayakan. Jawatan jadi habuan. Dibimbangi sikap ini menyebabkan kita langgar perintah tuhan:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا 

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada orang selayaknya.”

[an-Nisa’: 58]

Budaya ini tak sihat. Tapi nak ubah pun payah juga. Tak tahulah dekat mana silap. Manhaj tarbiyah ke, qudwah hasanah ke, wallahualam. Tapi memang perlu ditangani.

‘Kau sedaplah kata macam-macam. Dah dapat jawatan…’ Antara ayat yang dihamburkan bila saya tegur hal ini.

Jawatan saya taklah tinggi. Tapi setakat ini dah berapa kali saya jumpa dua tiga orang yang saya kira memiliki kriteria yang diperlukan dan tawarkan untuk ambil alih. Semua menolak. Sebabnya seperti yang dinyatakan, saya tak sanggup nak menjawab depan tuhan satu persatu hak orang yang bergantung dengan jawatan ini. Jadi susah hati sokmo.

Lebih baik cari kerja yang tak ada sangkut paut dengan kepentingan awam. Saya pun ada cita-cita sendiri yang ingin dikejar. Fokus bantu Islam di posisi yang orang tak berebut dan ringan persoalan di akhirat. Cuma sebab diminta dulu, saya akur. Kalau memujuk main baca dalil campur ayat-ayat sentimental ini saya lemah sikit. 

Masih ingat ayat orang memujuk saya terima jawatan ini dulu. ‘Cuba dulu setahun. Lepas ini kalau tak mahu, kita cari orang lain.’

Sudahnya dah tahun ketiga saya di sini. Yang kena cari orang lain itu, saya sendiri. Orang yang memujuk dulu itu, siap minta sambung kontrak 5 tahun terus. Kalau ada yang rasa layak ambil alih tugas saya, boleh hubungi. Status tengah mencari lagi ini. Kontrak pun dah nak habis ini.

ALANG IBN SHUKRIMUN
3 Rejab 1442
15 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -