Perangi Sugarbook – UMMAH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bertindak segera menangani kegiatan mengeksplotasi wanita melalui media sosial seperti aplikasi Sugarbook yang semakin berleluasa.

Berdasarkan pendedahan terkini oleh media tempatan, Malaysia di antara negara ketiga tertinggi di Asia dari sudut pencarian kepada laman sugar dating yang mempromosikan budaya tidak bermoral melibatkan lebih 42,500 sugar daddy dan lebih 12,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang berdaftar dengan aplikasi Sugarbook.

- Advertisement -

Antara institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang disebutkan ialah Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata agak malang apabila dua IPT yang tersenarai adalah IPTA di bawah kawalan kerajaan dan tumpuan pelajarnya adalah Melayu Muslim.

“Malah sangat membimbangkan jika penglibatan ini juga melibatkan sebahagian daripada mereka,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu, UMMAH mendesak kerajaan agar bertindak pantas dan segera bagi menyekat serta memerangi perkara ini daripada menjadi budaya yang lebih parah lagi kepada generasi muda terpelajar di negara ini.

Dalam pada itu, UMMAH turut menyeru pihak IPT yang terlibat dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyiasat segera perkara ini dan tindakan tegas sangat wajar diambil kerana ia akan memburukkan lagi imej pusat pengajian tinggi di negara ini.

“UMMAH juga menyeru semua NGO Islam agar membuat laporan polis di seluruh negara dan menyeru semua pihak yang terlibat dengan perkara ini agar tampil memberikan kerjasama bagi menghentikan budaya jijik ini,” tambahnya.

Statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi ‘Sugarbook’ untuk mencari sugar daddy, dengan peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran penggunaan baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika Covid-19. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -