Sindiket Orang Tengah Program Rekalibrasi ditumpaskan

- Advertisement -

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan Sindiket Orang Tengah Program Rekalibrasi dan berjaya menahan dua orang dalang sindiket yang menipu warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di Pulau Pinang pada 7 Februari 2021.

Operasi ini hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas JIM Putrajaya bersama JIM Pulau Pinang. Risikan telah dijalankan selama lebih kurang satu bulan bagi mengesan dan menumpaskan sindiket yang mengatur warga asing untuk mendaftar dalam Program Rekalibrasi dengan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Hasil operasi ini seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang lelaki warganegara India berumur 35 tahun telah ditangkap kerana mengatur penyertaan Program Rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan Imigresen dan menjanjikan akan dibawa ke pejabat imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temujanji melalui Sistem Temujanji Online (STO). Setiap warga asing dikenakan bayaran di antara RM1,000.00 hingga RM1,500.00 seorang sebagai bayaran kepada sindiket untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temujanji melalui STO seperti ditetapkan oleh JIM. Sindiket ini disyaki bergerak aktif di Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor. Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah motokar jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000.00.

Kedua-dua dalang sindiket ini ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Tahanan lelaki warga tempatan telah dikenakan reman selama tujuh hari manakala tahanan lelaki warganegara India ditahan di JIM Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

Dalam melaksanakan Program Rekalibrasi, Jabatan Imigresen tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan program ini. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan orang tengah dan tidak menggunakan khidmat ejen bagi menyertai Program Rekalibrasi ini. 

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Ketua Pengarah Imigresen
Malaysia – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -