Imigresen adaptasi cabaran, risiko tugas getir

- Advertisement -

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyambut Hari Imigresen setiap tahun pada tarikh 1 Disember. Dengan tema ‘Kita Jaga Kita’, sambutan Hari Imigresen yang ke-143 pada tahun ini JIM tidak menganjurkan majlis sambutan seperti biasa tetapi mengadakan majlis ringkas bacaan Yasin dan doa selamat dengan mematuhi semua SOP pencegahan COVID-19. Majlis ringkas ini disusuli dengan ucapan Ketua Pengarah Imigresen yang disiarkan secara atas talian kepada seluruh Pejabat Imigresen dan pejabat atase imigresen di luar negara.

Dalam majlis ringkas ini juga, Ketua Pengarah Imigresen turut melancarkan Pelan Anti-Rasuah JIM 2020-2024. Pelan ini merupakan dasar anti-rasuah yang mencerminkan komitmen jabatan ini bebas dari gejala rasuah demi memastikan kebertanggungjawaban jabatan untuk memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara. Pelan ini digubal untuk memberikan fokus kepada dasar integriti dan tadbir urus yang lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa undang-undang.

- Advertisement -

Sepanjang tahun 2020 JIM turut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Namun begitu, JIM tetap komited dalam melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini terbukti dengan melihat jumlah kes positif import sehingga 30 November ialah sebanyak 1,332 kes sahaja berbanding keseluruhan kes positif COVID-19 sebanyak 65,697 kes. JIM merupakan petugas barisan hadapan utama negara dalam menghadapi pandemik COVID-19. Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus COVID-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan-tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19. Perkara ini dapat dilihat melalui penglibatan JIM dalam melaksanakan omnipresence di kawasan tumpuan warga asing, menjadi tunjang utama di pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di MAEPS, operasi penguatkuasaan di kawasan PKPD dan lain-lain lagi.

Pegawai-pegawai JIM merupakan petugas barisan hadapan yang berisiko tinggi terdedah kepada wabak COVID-19 kerana mereka berada paling hampir dengan warga asing dan PATI yang belum dipastikan tahap jangkitan. Sehingga 25 November 2020 seramai hampir 3,500 orang Pegawai Imigresen telah menjalani ujian saringan COVID-19. Daripada jumlah ini seramai hampir 3,000 Pegawai telah dikuarantin dan 20 orang Pegawai telah dirawat kerana didapati positif jangkitan COVID-19.

Selain menghadapi tugas getir di lapangan dengan risiko jangkitan virus COVID-19, JIM juga turut mendukung inisiatif pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan telah berjaya menghasilkan beberapa inovasi dalam tempoh pandemik ini. Beberapa sistem telah dibangunkan sendiri oleh Jabatan ini bagi melengkapi inisiatif norma baharu seperti Sistem Temujanji Online (STO), Sistem MYEntry, Sistem Pertanyaan Online (SPO) dan Sistem MyTravelPass (MTP). 

Walaupun berhadapan dengan cabaran senario dunia semasa yang kompleks dan dinamik, jabatan ini terus memainkan peranan utama sebagai benteng keselamatan negara terutama di pintu-pintu sempadan negara dan dalam usaha membanteras PATI. JIM sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan di seluruh negara secara berterusan dengan tegas dan tanpa kompromi. Jabatan ini turut terlibat menjalankan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi lain dan turut terlibat sebagai salah satu agensi utama dalam National Task Force (NTF) yang melaksanakan OP BENTENG sejak Mei tahun ini.

Sepanjang tahun ini sejak 01 Januari sehingga 30 November 2020, sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara, hasil daripada operasi tersebut seramai 93,475 orang telah diperiksa dan seramai 34,920 orang PATI telah ditangkap. Selain daripada itu, seramai 376 majikan turut ditangkap sepanjang tempoh ini.

Jabatan Imigresen sentiasa mengikut arus perkembangan teknologi supaya kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan dan kos operasi dapat dikurangkan. Urusan-urusan yang dijalankan selama ini di kaunter dikurangkan secara berperingkat dan dijalankan secara atas talian dan digital.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Imigresen yang telah memberikan kerjasama dan sentiasa mendukung serta menyokong semua usaha dan dasar kerajaan. Komitmen dan pengorbanan warga Imigresen telah menjadi antara tunjang dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara. Selamat menyambut Hari Imigresen, ‘Kita Jaga Kita’.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD 
Ketua Pengarah Imigresen
Malaysia – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -