Wakaf tanah jadi saham akhirat suami isteri

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota kehilangan seorang ahli Muslimatnya yang berperanan penting bekerja di belakang tabir demi menubuh PAS Cawangan Beserah Selatan.

Almarhumah Khatijah Ariffin, 69, telah meninggal dunia setelah menempuh ujian akibat sakit strok sejak dua tahun lalu di kediamannya di Kampung Bugis Beserah, di sini kelmarin.

Pemergiannya itu menyusuli Almarhum suaminya, Sheikh Mahmud Sheikh Salim yang terlebih dahulu kembali ke rahmatullah pada tahun 2016 ketika berusia 54 tahun juga akibat penyakit sama. 

- Advertisement -

Almarhumah Khatijah semasa hayatnya adalah seorang suri rumah yang juga menjadi pendorong kuat kepada suaminya dalam menjalankan kerja-kerja jemaah khususnya di Cawangan ini.

Di samping menjaga empat anak-anak yang salah seorangnya adalah OKU, Almarhumah juga menjaga ibu mertuanya yang sakit strok, menyebabkan pergerakannya turun padang terbatas. 

“Almarhum Sheikh Mahmud merupakan salah seorang perintis membuka PAS Cawangan Beserah Selatan. 

“Semasa hayatnya, Almarhum pernah membuka kedai membaiki TV dan di kedai tersebut menjadi tempat ceramah diadakan terutama menjelang pilihan raya,” kata Ketua PAS Beserah Selatan, Mat Zaid Omar. 

Pasangan suami isteri ini maklumnya, telah mewakafkan tanah milik mereka untuk membina markas PAS dan hingga ke hari ini tempat tersebut merupakan pusat gerak kerja dilaksanakan. 

Menurut Zaid lagi, beliau bersama Almarhum telah menubuh Taski di bawah PAS yang merupakan pra-sekolah Islam pertama diwujudkan Kampung Rumbia pada tahun 1980. 

Kewujudan tersebut jelasnya, adalah sebelum menubuh PASTI di Pelindung Beserah pada tahun 2004 dan dapat beroperasi sehingga sekarang. 

“Semoga Allah S.W.T menerima segala amalan baik pasangan suami isteri ini dan dikurniakan sebaik-baik ganjaran di atas apa yang telah disumbangkan,” kata Zaid lagi.

Jenazah Almarhumah telah dikebumikan pada pada hari sama di Perkuburan Perkampungan Pantai Beserah, di sini. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -