Konvokesyen UMK secara maya 3 April

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia untuk menyambut kemasukan semula pelajarnya secara fizikal bermula 1 Mac ini bagi mengikuti pengajian secara fizikal dan pembelajaran atas talian.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail berkata, UMK melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa sudah merangka garis panduan lengkap mengenai kedatangan pelajar terbabit.

Selain itu, menurut beliau surat kebenaran untuk merentas negeri dan daerah sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diagihkan kepada pelajar terbabit di seluruh negara pada pertengahan bulan ini.

- Advertisement -

“Pelajar-pelajar akan mula mendaftar masuk ke kolej kediaman dengan beberapa fasa, manakala bagi kategori pelajar dari kawasan berisiko akan dikuarantin terlebih dahulu selama 10 hari.

“Semua aktiviti akademik yang dijalankan nanti mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan oleh pentadbiran dan mengutama langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan normal baharu,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini mengumumkan kemasukan semula pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Mac ini.

Manakala Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-10 dijangka berlangsung secara maya bermula 3 April hadapan, tertakluk kepada perkenan Tuanku Canselor, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Istiadat konvokesyen tersebut yang dijadualkan diadakan pada Oktober 2020 terpaksa ditangguh ekoran penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.

Dr Noor Azizi juga berkata, majlis tersebut akan dilangsungkan secara atas talian sepenuhnya dan proses penganugerahan kepada gaduan UMK bakal disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan.

Jelasnya UMK merupakan IPTA pertama yang melaksanakan istiadat pengurniaan dalam pembudayaan normal baharu bagi membolehkan graduan dan ibu bapa mengikuti majlis itu melalui Facebook rasmi UMK.

“Penganugerahan secara maya juga merupakan majlis kali kedua selepas Majlis Ikrar dan Pendaftaran Iktisas Kedoktoran Veterinar yang diadakan menerusi Facebook rasmi UMK 30 November lepas.

“Konsep penganjuran istiadat tersebut masih mengekalkan perjalanan fungsi majlis, cuma pelaksanaan dijalankan secara maya sepenuhnya tanpa kehadiran secara fizikal di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -