Tok Janggut syahid atau ghaib?

- Advertisement -

SUATU hari pada awal tahun 1990-an, saya terbaca satu kisah misteri di dalam sebuah tabloid yang saya telah lupa nama akhbar itu. Kisahnya mengenai dakwaan seorang hamba Allah yang mengatakan Tok Janggut tidak terbunuh di dalam Musuh Tok Janggut di Pasir Puteh pada 25 Jun 1915. Sebaliknya, orang itu mendakwa bahawa Tok Janggut telah ghaib dan masih hidup. Dakwanya, Tok Janggut telah bersembunyi dan muncul semula di khalayak ramai ketika itu.

Saya tidak tahu dakwaan itu benar atau tidak. Saya tertanya-tanya mengenai kebenaran dakwaan ini, sedangkan umum mengetahui Tok Janggut terbunuh dalam perang tersebut. Menurut catatan sejarah, di dalam perang yang tercetus pada 25 Jun 1915 itu, Tok Tanggut dan lebih 1,000 orang pengikutnya telah bertempur dengan askar British di Kampung Dalam Pupoh, Saring. Jenazah Tok Janggut kemudiannya dibawa ke Kota Bharu dan akhirnya dikebumikan di Pasir Pekan.

- Advertisement -

Pada suatu petang, saya bersembang-sembang dengan seorang tua. Namanya Abdul Majid, tetapi saya biasa menyapanya dengan panggilan Toksu Jid. Ketika itu usianya sudah hampir mencecah 90 tahun. Tetapi beliau masih sihat dan kuat. Biasanya beliau akan ke pasar untuk berjalan-jalan mengambil angin sambil melayan ‘cucu-cucu’ seperti saya ini.

“Toksu umur berapa sekarang?” saya bertanya umur beliau. Saya fikir umurnya tidak terlalu tua, kerana beliau masih sihat dan kuat.

“Orang zaman dulu tak ada surat beranak. Kita pun tidak tahu bila tarikh lahir,” jelas Toksu pada saya.

“Tapi zaman Orang Putih dulu, dekat-dekat nak perang (Perang Dunia Kedua), DO (Pegawai Daerah) Pasir Puteh lantik Toksu jadi Tok Ngulu (Penghulu). Tok Ngulu Kulim,” jelas beliau lagi. Perang Dunia Kedua meletus pertama kali di Kelantan, sebelum Pearl Harbour, Hawaii diserang. Ia berlaku pada 8 Disember 1941.

“Wah! Kira-kira Toksu ini dah jadi orang besarlah masa Orang Putih?” saya begitu teruja dengan penjelasan beliau. Sebenarnya Orang Putih atau Inggeris mula berpengaruh di Kelantan sejak WA Graham dilantik sebagai Penasihat Siam pada 1903. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British bermaksud untuk melantik Penasihat British di Kelantan. Tetapi kerana Istana Kelantan tidak bersetuju, selepas Perjanjian British-Kelantan pada 1910 baharulah British dapat melantik penasihatnya, James Scoot Mason.

“Jadi, masa tahun (19)30-an itu, Toksu dah besar (dewasa)lah, dah jadi Tok Ngulu. Ada lebih kurang 35-40 tak umur Toksu?” saya mula mencerap umur beliau.

“Lebih kurang itulah. Yang aku ingat, masa Musuh Tok Janggut itu aku dah besar. Dah boleh panjat pokok kelapa dah. Dalam 15-16 tahun lebih kurang,” Toksu Jid memberikan anggaran umur beliau berdasarkan peristiwa besar itu.

Tiba-tiba perhatian saya teralih dengan kenyataan Toksu Jid. Saya tertarik dengan kisah Musuh Tok Janggut yang beliau sebutkan itu. Saya segera teringat semula kisah misteri yang hangat dibicarakan oleh sebuah tabloid ketika itu.

“Toksu sempat ke dengan Tok Janggut. Toksu ada ke masa Orang Putih serang kampung kita?” saya segera mengalihkan pertanyaan. Isu umur Toksu Jid dan tugasnya sebagai Penghulu sudah tidak penting lagi.

“Dan (sempat) la. Tapi aku tak pergi perang itu. Aku dok kat Kulim, perang itu belaku di belah Saring. Dulu susah nak ke sana, sebab Sungai (Semerak) itu takde gertak (jambatan) lagi. Lagi pun, aku baru umur belasan tahun. Budak-budak mana terlibat dengan kerja-kerja perang ini,” hurai Toksu Jid panjang lebar. Saya faham situasi beliau ketika itu.

“Betul ke Toksu, orang kata Tok Janggut tak mati. Dia nusut (menyorok). Orang Putih tak dapat bunuh dia?” saya mula mencari jawapan kepada persoalan yang digembar-gemburkan oleh tabloid tersebut.

“Mana ada. Tok Janggut itu mati kena bunuh dengan Orang Putih. Kenapa nak nusut pula? Tok Janggutkan pendekar. Dia pahlawan. Dia berjuang melawan Orang Putih. Tok Janggut ini orang alim, ngaji di Makkah dulu. Bukan orang biasa-biasa. 

“Mati bagi seorang pejuang itu lebih mulia daripada lari. Kalau nusut, ertinya takut. Lari dari perjuangan. Kalau mati, syahid. Mulia dunia akhirat. Tok Janggut memang mati dalam perang itu,” Toksu Jid bersungguh-sungguh meyakinkan saya.

Saya pun berasa bangga dengan perjuangan Tok Janggut. Beliau berjihad mempertahankan tanah air. Saya yakin beliau syahid di jalan Allah. Tetapi, apabila tabloid itu mendakwa Tok Janggut bersembunyi, dan kini muncul semula, itulah yang membuatkan saya menjadi ragu.

“Toksu ada bukti tak, kata Tok Janggut ini mati? Sebab surat khabar kata, Tok Janggut hidup lagi,” saya mula bertanya untuk mencari kepastian.

“Jangan (me)nipulah. Tok Janggut itu mati kena bunuh dengan Orang Putih. Aku tengok mayat Tok Janggut ini,” Toksu Jid mula bertegas dengan hakikat bahawa Tok Janggut telah syahid.

“Toksu tengok Tok Janggut?” saya begitu teruja sekali.

“Ya lah. Lepas perang itu, tersebar cerita kata Tok Janggut kalah dan mati. Orang Putih sehari dua lepas itu, nak bawa mayat Tok Janggut ke Kota Bharu. Dia orang bawa mayat itu dengan perahu.

“Kita orang-orang kampung semua keluar. Mari tengok Orang Putih usung mayat Tok Janggut dari Saring bawa ke Limbongan, dekat kedai buruk (pasar lama), tepi sungai itu. Aku tengok sendiri, Orang Putih usung Tok Janggut itu. Boh (letak) dalam perahu besar. Orang Putih itu bawa gi ikut Sungai Semerak terus ke laut, lepas itu gi Kota Bharu,” cerita Toksu Jid sebagai saksi hidup peristiwa tersebut.

“Jadi memang betullah Tok Janggut yang dia usung itu?” saya masih menggali kepastian.

“Aku tak kenal Tok Janggut. Sebab aku orang Kulim. Tok Janggut orang Jeram. Lagipun aku muda lagi masa itu, Tok Janggut orang tua. Tapi orang-orang tua di Limbongan itu semua kenal Tok Janggut, sebab dia orang sohor (masyhur). Kalau mayat yang Orang Putih usung itu bukan Tok Janggut, mesti orang kampung juah (ejek atau persoal),” tegas Toksu Jid mengenai hakikat kematian Tok Janggut itu.

Di dalam hati saya, tersemat keyakinan bahawa kematian bagi seorang pejuang adalah kemuliaan. Keberanian beliau mempertahankan hak, memperjuangkan kebenaran dan istiqamah menegakkan ketuanan bangsa di perwitinya adalah suatu nilai yang amat tinggi kedudukannya. Kematiannya adalah syahid dan kemuliaan di sisi Tuhan. Tiada mulianya kita mengatakan beliau tidak mati, kerana mati itulah kemulian bagi seorang pejuang!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 5/2/2021

Dr Cheah Boon Kheng, di antara pengkaji yang telah menganalisis dan menulis mengenai peristiwa kebangkitan Tok Janggut di Kelantan pada 1915.
Makam Tok Janggut di Pasir Pekan. Di sinilah jasad Tok Janggut yang syahid dalam usaha mempertahankan tanah air disemadikan. Saya dua kali berpeluang menziarahi makam pahlawan ini.
Kisah perjuangan Tok Janggut adalah realiti yang berlaku. Ia bukan dongeng atau mitos yang menjadi lagenda kosong. Tetapi ia adalah perjuangan untuk menuntut hak ketuanan bangsa di tanah air tercinta.
- Advertisement -