Pelajar di pedalaman naik kereta api ke sekolah

- Advertisement -

KUALA KRAI: Bagi penduduk yang tinggal jauh daripada jalan utama, perkhidmatan kereta api menjadi pengangkutan utama bagi mereka.

Begitu juga bagi penduduk di Bukit Abu, Dabong, Kuala Gris dan Kemubu menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama memandangkan jalan raya untuk ke bandar begitu jauh.

Lebih istimewa lagi pengangkutan kereta api masih murah, jauh berbanding tambang teksi atau bas.

Begitu juga bagi pelajar sekolah kereta api menjadi pengangkutan penting bagi mereka untuk berulang alik ke sekolah setiap hari.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Nor Ayu Zahirah Kamaruzin, 17, turut menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama ke sekolah.

- Advertisement -

Beliau berkata, penumpang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkurangan jika dibandingkan pada hari biasa.

“Pengangkutan ini mudah dan jimat tetapi kami sering diingatkan supaya menjaga menjaga jarak, memakai pelitup muka dan semua prosedur lain ketika PKP.

“Sekolah pun hanya terhad kepada pelajar yang menduduki peperiksaan sahaja dan PKP penumpang kereta api sangat berkurangan sekarang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitu juga Azham Faizol Mohamad 19, dari Kampung Kuala Gris yang akan menduduki Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM,) mengakui penumpang kurang kerana PKP.

Beliau menjadikan keretapi sebagai pengangkutan utama untuk ulang-alik setiap pagi dan petang dari sekolah.

“Sebelum PKP setiap pagi tren akan dipenuhi pelajar, guru dan kakitangan awam, tetapi sekarang sudah berbeza kerana PKP.

“Bagi penduduk sekitar Dabong akan menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama kerana jalan raya jauh serta kos lebih tinggi,” kata beliau.

Bermula stesen Kuala Krai, beberapa lokasi dinaiki pelajar termasuk hentian Ulu Temiang, Bukit Abu dan Kuala Gris untuk ke sekolah di Dabong.

Manakala bagi Norshahmiah Ahmad, 19, yang tinggal di Tanah Merah tetap memilih keretapi walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah birokrasi ketika pelaksanaan PKP sekarang.

Namun beliau berkata, langkah itu terpaksa ditempuhi bagi memastikan hasrat kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19 menjadi kenyataan.

“Saya memohon permit polis untuk rentas daerah. Ketika di kaunter kereta api kena tunjuk permit sebelum menaik kereta api,” katanya.

Sementara itu Pengurus Wilayah Timur KTMB, Roslan Ibni Tajri berkata, operasi kereta api berjalan seperti biasa ketika pelaksanaan PKP.

Katanya, setiap gerabak hanya membawa 50 penumpang, sedangkan ketika PKP tahun lepas hanya lima penumpang setiap gerabak.

“Sekarang, PKP purata kira-kira 50 penumpang dengan menggunakan dua gerabak setiap hari berbanding hampir 300 ketika empat gerabak disediakan sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -