DAP sebenarnya parti berkuasa dalam PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pergelutan politik antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad membawa kepada naratif bahawa DAP adalah parti sebenar yang berkuasa di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, pendedahan Thomas di dalam buku beliau bertajuk My Story: Justice in the Wilderness membuka kepada pelbagai persoalan dan telahan mengenai Tun Dr Mahathir.

Thomas dalam memoirnya mendakwa Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Bagaimanapun, Dr Mahathir mencalonkan diri bagi jawatan itu, dakwa Thomas.

Ekoran dakwaan tersebut, Dr Mahathir tampil menafikan tuduhan Thomas dan menegaskan bahawa Thomas tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai peletakan jawatannya selain mengatakan bahawa dakwaan Thomas adalah karut.

Malangnya, jawapan yang diberikan Tun Dr Mahathir mengenai tuduhan yang diterimanya amat lemah dan hanya menyentuh sebahagian kecil daripada pelbagai tuduhan Thomas terhadap beliau, kata Dr Kamarul.

Membandingkan kedua-dua tulisan itu katanya, Tun Dr Mahathir jelas gagal menjawab secara konklusif dakwaan Thomas berhubung pelantikan Wan Azizah.

Hal Ini kerana, Thomas tidak pernah menyebut di dalam buku beliau mengenai identiti orang yang menyebarkan maklumat tersebut, apa lagi menyebut nama Tun Dr Mahathir.

“Jadi premis Tun Dr Mahathir ternyata salah dan bola sekarang ini kembali ke kaki Tan Sri Tommy Thomas untuk mendedahkan identiti orang yang beritahu kepada beliau mengenainya,” ujar Dr Kamarul dalam satu hantaran Facebooknya pada Selasa.

Mengulas mengenai kegagalan Tun Dr Mahathir menubuhkan Kerajaan Perpaduan, katanya, perkara tersebut diakui bekas Perdana Menteri Malaysia itu dalam kenyataannya.

Tun Dr Mahathir menyalahkan punca kegagalan itu disebabkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa Tun Dr Mahathir sebagai diktator.

Kata Dr Kamarul, tindakan Tun Dr Mahathir menyalahkan Kit Siang sebagai punca kepada kegagalannya mewujudkan Kerajaan Perpaduan adalah sangat bermasalah.

Ia menunjukkan bahawa Tun Dr Mahathir tidak pernah akan mengakui kesilapan sendiri dan akan sentiasa menjadikan orang lain sebagai kambing hitam apabila beliau gagal.

Lebih parah, apabila Kit Siang dalam tempoh itu tidak mendakwa Tun Dr Mahathir mahu menjadi diktator, tetapi yang mendakwa sedemikian adalah pemimpin PAN, Khalid Samad.

“Jika dan bila Tun Dr Mahathir boleh bertukar antara Kit Siang dan Khalid Samad, maka sudah pastilah perkara yang saya pernah bangkitkan dahulu mengenai fitness beliau muncul kembali.

“Ia juga bermasalah kerana, jika dakwaan Tun Dr Mahathir ini betul, maka ia mengesahkan satu perkara penting mengenai PH yang pemimpin PH sendiri mati-matian nafikan sebelum ini.

“Perkara penting ini, seperti yang pernah saya dakwa kepada Tun Dr Mahathir dalam Wacana Sinar Harian dahulu, adalah bahawa parti yang sebenarnya berkuasa dalam PH adalah DAP.

“Apakah lagi yang lebih menyedihkan daripada Tun Dr Mahathir akhirnya terpaksa mengakui bahawa hayat politik beliau, atau hayat politik pemimpin Melayu lain, dipegang oleh DAP?” soalnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -