Lihat darurat dari kaca mata positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat perlu dilihat dalam kaca mata positif bagi kepentingan kemaslahatan rakyat secara umumnya, kata Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

- Advertisement -

Menurutnya, dengan pengisytiharan darurat membolehkan Kerajaan mengeluarkan ordinan bagi mengerahkan segala pasukan anggota keselamatan negara untuk menangani penularan COVID-19.

“Sebagai contoh, jarak sempadan di antara negeri Sabah dan negara Filipina terlalu dekat, malah kemasukan warga Filipina ke kawasan Sabah ini begitu ramai setiap hari.

“Saya sangat biasa dengan sempadan tersebut, mereka masuk dengan begitu bebas dan sememangnya kawasan itu tidak terkawal kerana anggota keselamatan yang membabitkan anggota polis tidak mencukupi terutama sekali apabila berlakunya COVID-19.

“Anggota-anggota polis ini terpaksa menjaga keselamatan di kawasan bandar, di kawasan kampung dengan pelbagai sekatan jalan raya yang diperintah oleh pihak kerajaan begitu banyak sekarang ini bagi memutuskan rangkaian COVID-19.

“Adapun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sempadan negara dan sebagainya tetapi mereka mempunyai kuasa yang terbatas,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Justeru itu katanya, dengan kuasa ordinan yang dikeluarkan kerajaan dapat diturunkan kepada anggota keselamatan, bukan sahaja kepada Polis di-Raja Malaysia (PDRM), bahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara di-Raja Malaysia (TUDM) dan juga Tentera Laut di-Raja Malaysia (TLDM) yang boleh mengambil beberapa fungsi yang sangat mustahak bagi memastikan perjalanan negara ini lebih stabil.

Dalam pada itu, beliau mengkritik segelintir pihak yang melihat perkara ini sebagai suatu yang negatif sebagai tidak waras dan tidak rasional.

“Kita perlu faham bahawa dalam semua perkara yang kita hadapi dalam dunia ini ada sisi positif dan negatif, Allah tidak jadikan semua perkara di atas muka bumi ini positif tanpa ada negatif.

“Sama juga apabila kita membeli kereta terpakai, dari sudut positif memudahkan pergerakan kita dan lebih jimat tetapi negatifnya kena kerap baiki dan tanggung segala risiko yang boleh terjadi di atas jalan raya.

“Hal yang sama juga berkait dengan darurat ini, bagi orang yang berfikiran waras dan rasional, apabila kita isytihar darurat bertujuan untuk menurunkan lagi peratusan orang yang berjangkit COVID-19, semuanya bagi kemaslahan rakyat,” tambahnya.

Di samping itu, beliau menyeru para pemimpin negara dan semua rakyat untuk mendukung segala usaha baik yang dilakukan kerajaan tanpa mengira latar belakang parti yang dianggotai.

“Jadi saya mengharapkan kepada seluruh rakyat Malaysia melihat dengan positif perkara ini bertujuan untuk menangani COVID-19 dan sudah tiba masanya untuk kita bina negara dan masyarakat secara bersama.

“Apa jua parti yang kita dukung kita kena ingat benda yang baik mesti kita sokong, tidak perlulah berpolitik 24 jam dengan asyik menyatakan ‘numbers’.

“Jadi saya harap benda-benda seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan harapan saya kepada pemimpin-pemimpin ini supaya bersabar dan berfikir dengan positif untuk sama menangani penularan wabak COVID-19 dan isu-isu lain lain yang berlaku dalam negara kita ini,” ujarnya.

Mengulas soal penerimaan rakyat terhadap proklamasi darurat ini katanya, sokongan majoriti daripada rakyat jelas menunjukkan penerimaan yang baik terhadap proklamasi darurat yang diumumkan Perdana Menteri pada Selasa.

“Secara umumnya, kajian yang dijalankan penyelidik-penyelidik tempatan didapati majoriti yang sangat besar memberi sokongan terhadap darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan, hampir 70 hingga 80 peratus. Adapun selebihnya daripada rakyat yang berpandangan negatif akan perkara tersebut.

“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah di kawasan saya (Pasir Puteh) rakyat menerima baik keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

“COVID-19 ini adalah soal hidup dan mati, melibatkan ramai nyawa yang boleh terancam khususnya golongan warga emas, kanak-kanak dan juga bayi, jika ditangguhkan darurat maka akan semakin lambat proses pemulihan kesihatan di negara kita,” kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -