Ringgit kekal momentum meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia hari ini dilaporkan mengekalkan momentum meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan minat belian yang berterusan, disokong oleh harga minyak yang kukuh dan penyusutan dolar akibat kemerosotan penanda aras hasil Perbendaharaan AS 10 tahun.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Standard Chartered (StanChart), Malaysia menyasarkan ringgit kekal mengukuh berbanding dolar AS kepada RM3.90 menjelang akhir tahun ini dengan prospek yang lebih baik bagi mata wang tempatan itu.

- Advertisement -

Memetik kata Ketua Penyelidik Pertukaran Asing bagi ASEAN dan Asia Selatan StanChart, Divya Devesh berkata ringgit diunjur mengatasi mata wang serantau lain sejajar dengan peningkatan perdagangan global, pemulihan harga komoditi dan pengukuhan yuan China.

Katanya, Malaysia juga telah melihat pemulihan perdagangan global, manakala harga komoditi turut kembali pulih mengukuh berbanding semasa tempoh pemulihan perdagangan global, di samping ringgit cenderung mencatat prestasi yang tinggi.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai kolerasi tertinggi dengan kuantiti perdagangan global seluruh Asia berbanding dengan negara-negara Asia yang lain.

Dalam pada itu, Divya berkata peningkatan harga komoditi termasuk yang dieksport oleh Malaysia seperti minyak sawit mentah dan gas asli cecair dijangka akan merancakkan lagi eksport negara dan ringgit.

Sementara itu, meskipun ringgit masih lagi di bawah nilai rendah sebanyak 9.0 peratus walaupun pada paras semasa, Divya berkata pelabur asing mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah lonjakan semula kes Covid-19 di Malaysia dan ia tidak menyebabkan aliran keluar segera.

“Kita masih dalam persekitaran yang mana hutang berkaitan hasil negatif di seluruh dunia menghampiri US$17 trilion dan berbanding hutang berkaitan hasil negatif yang semakin meningkat Malaysia sebenarnya menawarkan peningkatan hasil dalam terma nominal dan sebenar,” katanya.

Selain itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit seperti semua mata wang yang dipengaruhi oleh minyak akan diniagakan dengan menggalakkan berikutan elemen komoditi infrastruktur pakej rangsangan AS, walaupun terdapat kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan domestik berikutan peningkatan semula kes Covid-19.

Katanya, pemulihan ekonomi China yang stabil juga memberi prospek baik kepada corak perdagangan serantau yang utama.

Dalam perkembangan lain juga, Standard Chartered turut menjangkakan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan pulih semula kepada 7.5 peratus pada 2021 daripada anggaran 5.8 peratus semasa tahun lepas.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan, Edward Lee, pemulihan ekonomi Malaysia sebahagiannya akan didorong oleh aktiviti ekonomi yang berterusan walaupun di tengah-tengah sekatan pergerakan yang disasarkan bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk ketiadaan sekatan secara global buat masa ini.

”Saya tidak perlu menekankan risiko semasa yang sudah jelas iaitu lonjakan Covid-19 dan pengenaan semula beberapa langkah sekatan yang telah kita lihat di Malaysia,” katanya.

Setiausaha Politik Presiden PAS yang merupakan seorang pengkaji ekonomi, Syahir Sulaiman turut berpandangan bahawa melihat kepada sentimen kini momentum pemulihan ekonomi bagi 2021 akan terus dapat disokong dan akan terus berkembang.

Beliau berkata, melihat kepada pelbagai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat serta bank Negara Malaysia yang bersedia memberi kemudahan seperti pelanjutan tempoh bayaran balik bagi meringankan peniaga dan majikan yang terjejas, jelas menyokong jangkaan analisis bahawa ringgit dan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus mengukuh dan kekal baik berbanding tahun 2021.

Katanya, walaupun kini negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang mungkin akan membantut sedikit aktiviti ekonomi. Namun dengan kebenaran pembukaan bagi beberapa sektor utama di samping dengan adanya agihan bantuan dan program terhadap peniaga kecil diharapkan dapat menyokong aktiviti ekonomi untuk bergerak lebih rancak.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberi jaminan bagi menyalurkan segala bantuan kewangan seperti diumumkan dengan lebih segera kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pengeluaran i-Sinar melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Pemberian yang akan disalurkan itu merupakan wang atau perbelanjaan yang memudahkan rakyat khusus bagi golongan B40 dan M40 untuk terus berbelanja sekaligus merancakkan permintaan dan pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau turut berpendapat bahawa, kerajaan juga harus memberi penumpuan yang baik terhadap pasaran buruh yang mana perlu untuk menjaga kebajikan pekerja sama ada masih bekerja atau telah diberhentikan kerja.

Justeru katanya, peranan inisiatif yang disediakan kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah penting dalam usaha memperkasakan masyarakat yang terjejas di samping membuka peluang kepada penganggur atau graduan untuk mendapat peluang latihan dan pekerjaan sementara bagi menampung kehidupan dan demi pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, bagi memastikan ekonomi terus bergerak perbelanjaan rakyat perlu terus disokong dan segala pemberian amat perlu disalurkan kepada golongan yang memerlukan serta petani di luar bandar dan juga peniaga kecil perlu dibantu secara lebih menyeluruh oleh agensi kerajaan bagi mengelak segmen tersebut terus terjejas apabila berlaku kelembapan ekonomi bagi memastikan ekonomi negera terus berjalan. – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -