BACHOK: Sepatutnya pelaksanaan darurat kesihatan dibuat lebih awal memandangkan wabak COVID-19 sekarang seperti tidak terkawal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir berkata, peningkatan kes harian COVID-19 kebelakangan ini sehingga lebih 3,000 kes mengejutkan banyak pihak. Malah, ia sehinggakan mencetuskan kebimbangan rakyat.
“Tetapi ketika itu kerajaan mempunyai kaedah lain untuk mengatasi penularan wabak. Semua orang maklum penularan semula wabak selepas berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Sedangkan sebelum ini kerajaan sudah berjaya melandaikan lengkuk wabak. Ternyata kempen pilihan raya menyebabkan ramai petugas dari Semenanjung pergi ke Sabah,” katanya di sini.
Selasa lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanan proklamasi darurat kesihatan yang sehingga 1 Ogos hadapan atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif pandemik COVID-19 harian dapat dikawal.
Pelaksanaan darurat itu dapat mengelakkan berlaku pilihan raya dan tiada persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Azziz yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok berkata, darurat 2021 berbeza berbanding pelaksanaannya sebelum ini sehingga menyebabkan ekonomi lumpuh.
Kata beliau, pelaksanaan darurat kesihatan masih membolehkan aktiviti masyarakat dan ekonomi berjalan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 15/1/2021