Sombong merasakan kekuasaan mutlak – ke mana akhirnya?

SEJARAH sebenarnya mampu membentuk kita menjadi seorang insan yang mulia di samping menjadikannya panduan hidup untuk masa hadapan. Tanpa sejarah, kita tidak akan kenal siapa diri, asal-usul dan juga boleh menjadikan diri kita sombong, bongkak dan angkuh.

Kita sebagai umat Islam benar-benar beruntung kerana diturunkan al-Quran yang bukan sahaja dijadikan panduan untuk kehidupan dunia dan akhirat tetapi juga banyak sejarah yang tercatat di dalamnya yang boleh dijadikan panduan mahupun iktibar.

Kisah Firaun dan Nabi Musa banyak terdapat di dalam al-Quran namun apa yang saya ingin sentuh ialah kisah Firaun. Firaun ialah pemerintah Mesir yang hidup di zaman Nabi Musa. Di satu tahap dalam pemerintahannya, Firaun percaya dia adalah tuhan di samping menolak agama Allah S.W.T yang dibawa oleh Nabi Musa.

Advertisement

Begitu taksub akan kekuasaan dan keagungan pemerintahannya, Firaun percaya beliau tidak akan mati, tiada siapa yang boleh menggantikannya dan akan memerintah selama-lamanya. Begitulah angkuhnya Firaun, namun akhirnya dicabut nyawanya dan hanya tinggal jasad yang telah bercerai dari nyawanya.

Itu Firaun, beralih pula kepada Qarun yang juga hidup di zaman Nabi Musa dan terpapar kisahnya di dalam al-Quran. Qarun jika ditakrifkan di era moden ini adalah antara manusia terkaya di muka bumi ketika itu. Kekayaannya melimpah ruah sehingga ada di kalangan ahli sejarah mengatakan kekayaan sejauh mata memandang.

Namun akibat kaya dan berkuasa di samping keangkuhannya serta kesombongannya, beliau berserta kekayaan dan istananya ditelan bumi sebagai azab mahupun balasan atas sikap dan perlakuannya. Pengajarannya, usahlah kita sombong dan bongkak dengan kekuasaan, kekayaan mahupun harta.

Kuasa tidak menjamin kelangsungan hidup kita, kuasa juga bukan hak mutlak kita sampai bila-bila. Lihat bagaimana Rasulullah S.A.W ketika membuka kota Madinah dan memerintah, walaupun Baginda maksum dan mulia di sisi Allah S.W.T, Baginda memerintah bersama-sama Sahabatnya, bermesyuarat, bertukar pendapat dan menjaga kepentingan semua pihak.

Baginda tidak menganggap kuasa adalah hak mutlaknya dan bersama-sama Sahabatnya membuat keputusan memerintah Daulah Islam yang pertama. Malah ketika hampir wafat, tidak pula Baginda mewasiatkan anak mahupun keturunannya untuk menjadi pemerintah sebaliknya diteruskan oleh Sahabat-sahabat Baginda.

Maka wajarlah kita mencontohi Rasulullah S.A.W, bersama-sama Sahabat Baginda memerintah Madinah yang dihuni oleh pelbagai kaum, bangsa dan agama di samping menjadi pendamai kepada Muhajirin dan Ansar. Baginda mengangkat Islam sebagai pedoman hidup serta menjadi teras dan dasar kepada negara Madinah, Daulah Islam yang pertama.

Usah jadikan Firaun dan Qarun sebagai contoh kehidupan, yang sombong, bongkak, angkuh, zalim dan tamak serta merasakan kekuasaan adalah hak mutlak mereka semata-mata. Firaun dan Qarun juga merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang layak memegang kuasa dan membolot segala harta kekayaan tanpa mempedulikan nasib rakyat mereka ketika itu.

Itu sejarah, sejarah yang wajar kita ambil sebagai iktibar dan jadikan ia sebagai pedoman. Bagaimana pula kita hari ini, adalah kita tergolong dalam golongan Firaun dan Qarun atau kita mengikut jejak Rasulullah S.A.W dan Sahabat-sahabatnya?

Firaun yang gilakan kuasa akhirnya hanya tinggal jasad yang kini menjadi abu, Qarun yang gilakan kekayaan akhirnya ditelan bumi bersama-sama hartanya. Namun Rasulullah S.A.W dan Sahabat-sahabatnya menjadi ikutan kita umat Islam sehingga akhir zaman.

Jalan manakah yang mahu kita ikuti, tidak dikenang, dihina, dikeji dan malu seluruh kehidupan kita ataupun dikenang sebagai wira dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Semoga kita semua diberkati dan dirahmati.

YB HAJI AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/1/2021