Jajaran baru politik berdepan laluan sukar

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Dewan Ulama PAS yakin jajaran politik negara seperti cuba digambarkan sesetengah pihak berdepan laluan sukar untuk menjadi kenyataan.

Ketuanya, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PAS tidak akan menerima gabungan baru yang turut melibatkan penyertaan DAP dan PKR.

Sebaliknya kata beliau parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang perlu mengukuhankan perpaduan dan kerjasama yang lebih erat.

- Advertisement -

“Penyatuan sedia ada termasuk Pakatan Nasional dan Muafakat Nasional (MN) sudah menjadi pelengkap bagi mengurus pentadbiran negara seperti yang dianjur Islam.

“Kita tidak boleh berpegang dengan pandangan politik yang sempit berasaskan kemarahan dan dendam. Ia akan merosakkan pentadbiran negara.

“Saya khuatir sejarah hitam 22 bulan di era lepas berulang lagi,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan awal persekolahan 2021 peringkat parlimen Pasir Puteh di Dewan Penggawa Daerah Semerak di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,300 pelajar menerima bantuan persekolahan iaitu RM100 seorang.
Hadir sama ahli jawatankuasa Pusat Khidmat Dun Semerak dan Penggawa Daerah Semerak Dr Mustafa Ahmad.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa sebahagian besar mesyuarat perwakilan Umno di peringkat bahagian mengusulkan supaya menolak kerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa membayangkan tidak sampai 100 bahagian Umno di seluruh negara meluluskan usul tersebut.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi pula memutuskan usul tersebut akan dibahas pada Persidangan Agung Umno yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini.

Berikutan hubungan Umno-Bersatu agak renggang sekarang, ada pemerhati politik menyifatkan kemungkinan muncul jajaran baru bagi mendominasi pentas politik di negara ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga ahli parlimen Pasir Puteh berkata, semua ahli politik perlu tunduk kepada arahan Allah dalam menguruskan amanah mentadbir negara.

“Kita perlu bersatu padu, kita akan kuat. Saya berharap semua rakan sama ada dalam PAS, Umno dan Bersatu perlu saling menghormati dan tidak mengeluarkan kenyataan sensitif yang boleh merengggankan hubungan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -