PAS tidak putus asa jadi pendamai

- Advertisement -

KANGAR: PAS tidak akan pernah berputus asa untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menyatupadukan ketiga-tiga parti Melayu Islam terbesar di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, walaupun pergolakan sedang berlaku dalam Umno, namun usaha untuk menyatupadukan umat Islam tidak pernah berhenti.

Katanya, PAS tetap berusaha bersungguh-sungguh bagi menyatukan semula dan memperbetulkan segala kepincangan yang berlaku dalam hubungan tersebut.

- Advertisement -

“Kita tidak boleh mengira musuh semasa kita sahaja, apa yang penting kita mesti melihat musuh bersama yang menjadi penentang kepada orang Melayu dan Islam di negara kita.

“Jadi sikap untuk bersatu dalam menentukan musuh lebih mudah untuk kita kembali bersatu semula daripada kita menjadikan kawan dalam perikatan sekarang sebagai musuh,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama parti itu bersama Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan memberitahu segala perbincangan dalam mesyuarat itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno akhir bulan ini.

Pada persidangan Umno peringkat bahagian baru-baru ini, tiga usul utama dibangkitkan iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Selain itu menggesa Pilihan Raya Umum (PRU) dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

Ustaz Hashim bagaimanapun yakin PAS boleh memainkan peranan untuk menyatukan semula ketiga parti orang Melayu tersebut.- HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -