Teladan pemimpin: Mangsa banjir bantu mangsa banjir

- Advertisement -

TEMERLOH: Antara sifat pemimpin sebenar adalah sentiasa menjadi ‘qudwah’ yakni contoh teladan dengan dirinya sendiri sentiasa memilih ‘azimah’ iaitu keazaman serta tujuan yang teguh dalam segala tindakan.

Hal tersebut nyata terlihat pada para pimpinan di negeri ini yang tatkala dilanda musibah banjir besar dengan penuh kesulitan, mereka turut bergelumang ke medan mengetuai gerak operasi dan membantu rakyat.

Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor adalah antaranya yang walaupun keluarga beliau juga merupakan mangsa banjir, namun telah turut bergerak dalam bantuan banjir mengetuai operasi anggotanya.

- Advertisement -

Berikutan kediamannya turut dilanda banjir dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Gau, namun Ustazah Salamiah tetap bersama anggota operasi misi bantuan ke Kuala Krau, semalam.

Antara dilawati beliau dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dan menyantuni keluh kesah mereka adalah di PPS Sekolah Agama Jengka 17 yang terdapat 141 mangsa daripada 26 keluarga di situ.

Tidak ketinggalan dikunjungi beliau adalah sahabatnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Pahang, Rohaya Razali yakni juga tinggal di Jengka 17 di mana turut terjejas setelah kediamannya dilanda banjir.

Ketentuan takdir untuk Salamiah, apabila sekembalinya ke PPS Sungai Gau seusai operasi tersebut, beliau dan keluarga telah menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Pemangku Raja Pahang, Tuanku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah Shah.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar antara susuk yang sentiasa menjadi contoh atas sifat amilin diterjemahkannya di mana antara bergelumang lumpur dalam operasi pembersihan banjir di Maran, semalam.

Begitu juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang tinggal di Lanchang turut ke lapangan dilihat mengedarkan makanan dan minuman kepada mangsa banjir di Darul Ansar Cempaka, di sini semalam.

Malah dalam laporan dari pelbagai pihak, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Maimunah Iskandariah juga melakukan perkara sama.

Baginda berdua meredah laluan banjir yang terlihat adanya risiko demi semata-mata mencemar duli mendekati sendiri keadaan rakyat saat dilanda keresahan akibat musibah banjir menimpa negeri ini. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -