PAS tidak pernah keliru pertahan MN, PN

- Advertisement -

TUMPAT: PAS tidak pernah keliru untuk menyatakan sokongan bagi mempertahankan Muafakat Nasional (MN) mahu pun Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan.

- Advertisement -

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau yakin rakyat menyokong kerajaan hari ini bagi memastikan pemerintahan yang diterajui bersama PAS, Umno dan Bersatu terus kekal.

Menurutnya, kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat ketika negara berhadapan dengan penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai golongan yang terjejas.

“Cuma yang dilihat tidak stabil itu di Parlimen kerana mandat yang diberikan oleh rakyat kepada ahli Parlimen pada Mei 2018 itu merupakan keputusan yang bermasalah.

“Hari ini rakyat menyokong kerajaan yang ada sekarang dan mengharapkan ia stabil kerana kecaknaan kerajaan terhadap nasib rakyat ketika ini,” katanya selepas majlis penyerahan ‘Touchpoint’ kepada Usahawan Bimbingan Mardi, Agropreneur Muda dan Peserta Rezeki Tani di sini semalam.

Ahli Parlimen Tumpat itu diminta mengulas mengenai tindakan segelintir penyokong mendesak parti itu membuat pilihan antara PN dan MN.

“Sebenarnya sebarang keputusan yang hendak dibuat oleh pemimpin terlebih dahulu mengambil kira kehendak rakyat dan penyokong.

“Saya yakin pemimpin yang hebat mereka akan mengambil kira kehendak rakyat, ini kerana rakyat yang menentukan dan meletakkan mereka di atas sebagai pemimpin,” katanya.- HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -