KUANTAN: Kegemparan daripada isu kartel daging haram import yang dilabelkan sebagai halal dan pencerobohan pekebun haram Musang King di Raub harus menjadi pengajaran berguna kepada pihak berkuasa.
Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, pun demikian isu tersebut tidak harus berpanjangan dengan keluhan ketidakpuasan hati atau kecaman, sebaliknya semua pihak perlu memandang ke hadapan.
Menurutnya, satu lonjakan tindakan mesti diadakan dalam mengatasi kebergantungan negara kepada keperluan barangan asas terutamanya makanan yang masih lagi banyak terpaksa diimport.
“Dari satu aspek, kekurangan yang ada ini melibatkan isu jaminan keselamatan makanan. Sepatutnya seiring kemajuan, Malaysia dapat memenuhi keperluan asasi rakyat. Kita perlukan langkah menghadapi segala kemungkinan.
“Tambahan dalam dunia yang bergolak dan bersaing merebut segala kepentingan hari ini. Contohnya keperluan beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini. Sepatutnya kadar sara diri (SSL) dipenuhi 100 peratus.
“Tetapi sejak dahulu tanah sawah kita semakin berkurang kerana ditukar status kepada pembangunan. Akibatnya, sebahagian keperluan makanan kita ini (beras) masih lagi diimport,” ujar beliau yang juga ADUN Panching.
Begitu juga katanya, bekalan daging tempatan difahamkan hanya memenuhi 22 peratus keperluan dalam negara dengan 78 peratus lagi masih terpaksa bergantung kepada import daripada banyak negara.
Sedangkan Malaysia ujar beliau, mempunyai tanah subur dan luas yang belum dimanfaatkan, di mana perkara itu antara diberi penekanan oleh tokoh ulamak sosiologi, Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah.
Kerajaan menurutnya, mesti merangka penyelesaian jaminan keselamatan makanan ini sebagai gerbang baharu negara dalam realiti cabaran geopolitik dunia menjadi antara strategik yang perlu diutamakan.
Apatah lagi katanya, Malaysia sejak merdeka telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta penemuan di sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
“Semua ini bersangkut paut dengan makanan atau keperluan asas harian kita. Tetapi adakah pencapaian hebat kita sekadar dalam buku, menjadi teori di dewan kuliah universiti dan kajian di laboratorium?
“Semua ini mesti membumi lebih-lebih lagi untuk memenuhi kecukupan dalam negara kepada rakyat sendiri. Malah, semua bidang ini sebenarnya akan menjana satu sektor kepada pertumbuhan ekonomi juga.
“Rakyat akan mempunyai pekerjaan dan peningkatan kepakaran, selain aliran keluar wang negara disebabkan import dan penggunaan pekerja asing dapat diminimumkan,” kemuka beliau.
Pahang sendiri katanya, boleh menyumbang menampung sebahagian daripada keperluan tersebut dengan memanfaatkan tanahnya daripada tidak dihidupkan atau terbiar diteroka ceroboh haram.
Jelasnya, sebelum ini Pahang sudahpun menyumbang sekitar 15 peratus daripada penghasilan 40.6 peratus susu segar dalam negara yang berkeperluan 68.8 juta liter setahun, manakala selebihnya diimport dari Australia dan New Zealand.
Antara boleh dicontohi ujar beliau, adalah dari penghasilan produk tenusu di Muadzam Shah oleh The Holstein Milk Company yang mengeluarkan jenama terkenal susu segar Farm Fresh di pasaran negara hari ini.
Sehubungan itu cadangnya, penggunaan tanah bagi tujuan penternakan dan pertanian berskala besar dalam memenuhi keperluan makanan negara perlu menjadi antara perhatian Kerajaan Negeri Pahang.
Tahun lalu, media membongkar kegiatan kartel mendalangi kemasukan daging haram yang dilabelkan halal palsu ke pasaran negara ini dan di Raub pula didedahkan isu pencerobohan tanah oleh pekebun haram Musang King. – HARAKAHDAILY 1/1/2021