Ramasamy berkeras, Sanusi sedia ke mahkamah

Sanusi lontar 'mesej' dengan imbau sejarah pembinaan Terusan Wan Mat Saman

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengemukakan tuntutan caj penggunaan air mentah Sungai Muda daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sebagai memperjuangkan hak dan nasib rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau berjanji kepada dirinya sendiri bahawa akan memastikan hak negeri Kedah dapat diberikan sesuai pengorbanan negeri ini kepada kepentingan ramai.

“Siapa-siapa pun jadi pemimpin, siapa-siapa jadi ketua, kena ada keazaman untuk menjadi pejuang kepada persekitaran kita. Siapa yang duduk bersama kita, tanggungjawab apa yang sedang kita pikul.

- Advertisement -

“Kita kena ada semangat untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk dapat apa yang sepatutnya kita dapat,” ujarnya pada program Back To School bersama Yayasan Saleh Saidin, YAPEIM dan JAWHAR di Hotel Seri Malaysia, di sini semalam.

Menurutnya, Kedah mempunyai banyak sumber alam dan sumber asli, selain mengekalkan tanah dan hutannya sebagai jelapang padi dan kawasan tadahan air yang menjadi sumber asas kepada negara dan beberapa negeri.

Namun katanya, berbanding negeri lain di wilayah Utara Semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang dan Perlis, pendapatan perkapita rakyat Kedah adalah yang paling bawah, sekali gus antara termiskin dalam Malaysia.

Terang beliau, 40 peratus keperluan beras dalam negara ini datangnya daripada padi yang ditanam di Kedah atas komitmen mengekalkan tanah sawah dari ditukar status untuk tujuan atau pembangunan lain.

“Kita simpan tanah 163,000 hektar untuk menahan tadahan air hujan, menjadi kawasan tadahan untuk pengairan pertanian. Daripada kawasan ini juga, mengalirlah air ke sungai-sungai untuk diberi bekalan air bersih diminum oleh rakyat di wilayah Utara ini.

“Pulau Pinang, Kedah, Perlis, minum daripada sumber daripada Ulu Muda. Di atas simpanan kita (Kedah) semua ini, seluruh rakyat Malaysia merasai nikmatnya. Bukan sahaja nikmat ayaq (air) bersih ini, (juga) nikmat adanya beras sebagai makanan utama negara kita.

“Tapi kita (rakyat Kedah) kekal berada di bawah pendapatan, kekal menjadi rakyat negeri yang miskin, walaupun pengorbanan kita banyak. (Tapi) ada jiran-jiran kita yang kaya, yang berasa kemaih (hebat), yang menyedut air daripada simpanan kita ini,” ujarnya.

Pun begitu kesalinya, pihak Pulau Pinang bertindak masuk campur dan mempertikaikan Kedah dalam urusan negeri ini secara tidak disenangi, sedangkan negeri jiran itu menumpang nikmat air dari Kedah.

“Sebagai anak Kedah, kita ini semua anak Kedah, kita kena sayang negeri kita. Kita sayang tanah di mana kita dilahirkan, tanah di mana kita membesar, tanah di mana kita menghasilkan makanan yang kita kongsi bersama dengan orang lain di seluruh negara.

“Tanah di mana kita simpan sumber alam, untuk kita tadah ayaq untuk menjadi sumber pertanian untuk negeri dan negara. Dah itu kita patut cemburu dengan negeri kita ini. Jangan bagi orang pi duk kacau tak ke tahu hala, mai duk suruh itu suruh ini. Kita cemburu,” ujarnya mengisyaratkan ‘peringatan’.

Sehubungan itu beliau berharap pihak Pulau Pinang setuju untuk berunding sebagaimana surat tuntutan yang dikemukakan agar Kedah sewajarnya tidak perlu untuk bertindak menyekat aliran Sungai Muda.

Melanjutkan ‘peringatannya’, beliau memberitahu bahawa semangat orang Kedah adalah sepertimana sejarah pembinaan Terusan Wan Mat Saman daripada Gunung Jerai ke Kota Setar yang terhasil dengan peralatan terhad seperti cangkul.

Pulau Pinang berkeras enggan bayar

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Palanisamy bagaimanapun dilihat memberi reaksi keras apabila menyatakan tidak akan ada sebarang rundingan atau bayaran dalam perkara tersebut.

Beliau membidas Sanusi dan menyatakan bahawa tuntutan Kedah itu tidak mempunyai asas undang-undang, bahkan Perlembagaan hingga turut mengaitkan punca air sungai itu daripada Thailand.

Ramasamy turut menyatakan bahawa terdapat perjanjian jelas mengenai hak Pulau Pinang untuk mengambil air tersebut, selain konsep hak riparian mengenai garis sempadan kedua-dua negeri.

Malah, beliau cuba menyokong kenyataannya dengan menyatakan bahawa terdapat keputusan mahkamah dan undang-undang yang menetapkan hak penggunaan sumber air di sempadan negeri atau negara tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini telah menyatakan secara lisan persetujuannya untuk menerima pelawaan berunding, di mana Sanusi mencadangkan Kerajaan Persekutuan sebagai pemudah cara.

Sanusi dalam reaksinya berkata, Kedah tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

“Sekarang kita runding dahulu di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, lagipun kita sama-sama dalam Malaysia.

“Tetapi, sekiranya (temui) jalan buntu lagi, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya dilaporkan Bernama hari ini.

Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010, namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/12/2020

- Advertisement -