Ratu cantik: Fatwa tidak dihormati dan ditakuti?

- Advertisement -

BAHAWA wanita Islam adalah diharamkan menyertai pertandingan ratu cantik telah difatwakan secara rasmi oleh kerajaan. Di Selangor, fatwa berbunyi ‘Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 11 Mei 1995.

Di Wilayah Persekutuan pula, fatwa berbunyi ‘Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 8 Februari 1996.

- Advertisement -

Dua wanita Islam bernama Fahyu Hanim Ahmad dan Noni Mohamad yang melanggar fatwa ini dengan menyertai pertandingan ratu cantik di Hotel Holiday Villa, Petaling Jaya, pada 13 Jun 1997 juga telah pernah didenda sebanyak RM1,400 atau 4 bulan penjara serta berkelakuan baik selama 6 bulan.

Malangnya, daripada senarai 13 peserta pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini, masih ada lagi nama-nama wanita Islam terpapar.

Boleh semak sendiri nama-nama mereka: Melissa Tyndall, Aleena Shahman, Helenah Abdul Hatta, Jeishwari Balbir Singh, Nicol Gomez, Punitha Peruma, Nadia Rosli, Emilia Josephine Masiun, Abiramy Ramasamy, Dayshendri P Pecquan, Lianne Alychia Hendriks, Belinda Halime dan Maira Tajudin.

Malang sekali bila fatwa sudah tidak lagi dihormati dan ditakuti oleh umat Islam sendiri. Soalnya ialah mengapa?

Di mana suara golongan Feminis, pejuang hak asasi dan Wanita PAN?

Pemuka feminis Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyebut: “Sebagai seorang feminis, saya mempunyai masalah dengan pertandingan ratu cantik – ia mengekalkan eksploitasi wanita sebagai hanya hiasan.” (“As a feminist, I have a problem with beauty contests – they perpetuate the exploitation of women as mere decoration.”)

Pesuruhjaya SUHAKAM, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pula pernah menyebut: “Pertandingan ratu cantik yang menghendaki peserta membuka aurat serta dipertontonkan kepada umum untuk diadili adalah jelas haram dan berdosa. Perlu diingat, wanita Islam bukanlah alat pertandingan. Banyak perkara boleh dijadikan mainan, tetapi bukan wanita Muslimah.”

Angkatan Wanita PAN juga pernah menyelar penganjuran pertandingan ratu cantik yang disifatkan sebagai “jelas bertentangan dengan syariat Islam dan adab ketimuran kerana ianya mendedahkan aurat, tidak memberikan manfaat, mengeksploitasi wanita sebagai bahan hiburan dan sebagainya.”

Malangnya, di mana suara mereka semua tatkala masyarakat sedang panas dengan cerita pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini?

Mengapa hanya suara para pemimpin PAS seperti YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Tuan Haji Kamaruzaman Mohamad dan Ustaz Nasrudin Hassan sahaja yang kedengaran?

Apakah hanya para pemimpin PAS sahaja yang istiqamah dan konsisten mempunyai kepekaan terhadap permasalahan ini?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -