Rangka jambatan hanyut tersangkut tengah Sg Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kira-kira 500 penduduk termasuk golongan nelayan yang tinggal di Kampung Pulau Pisang, di sini, meluahkan kebimbangan mereka, apabila sebuah rangka jambatan tersangkut di Kampung Laut, Tumpat (Jambatan Palekbang) ke Penambang di sini sejak malam kelmarin.

Penduduk, Mazlah Hussin, 54, berkata mereka sekeluarga terkejut apabila terdengar bunyi bising di halaman rumahnya, berikutan penemuan rangka jambatan hanyut di tengah-tengah Sungai Kelantan di kampung tersebut.

“Kami sekeluarga menjenguk ke arah luar tingkap dan mendapati satu objek yang menyerupai sebuah bot besar yang terletak kira-kira 200 meter, hanyut di sungai berdekatan rumah. Mulanya saya mengesyaki sebuah bot karam kerana 10 tahun lalu pernah ada kejadian bot karam di hadapan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata penduduk mendakwa faktor rangka jambatan itu berada di situ, disebabkan banyak balak merempuhnya hingga terputus ikatan sebelum ia dihanyutkan arus deras.

Mazlah berkata sejak rangka jambatan itu tersangkut di kawasan sungai itu, ada pihak berkaitan cuba memasang sauh beberapa kali bagi mengelak rangka jambatan itu terus hanyut, seterusnya dikhuatiri merempuh bot-bot nelayan yang berada di pinggir sungai berkenaan.

“Ia merisaukan kami, kerana jaraknya agak dekat dengan kediaman di pinggir sungai. Sekiranya dibiarkan, kami khuatir ia boleh menjejaskan lebih 10 bot yang ditambat di kawasan sungai, selain merosakkan jeti berhampiran,” katanya.

Katanya, penduduk kampung berharap agar rangka jambatan itu ditarik semula ke tempat asal, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku pada musim banjir. – BERNAMA

- Advertisement -