Mengatasi masalah lompat parti

- Advertisement -

PADA dasarnya sesiapa pun bebas untuk masuk dan keluar mana-mana parti atau pertubuhan. Kebebasan ini termasuk dalam hak berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tapi bila hak dan kebebasan ini disalahguna maka mekanisme kawalan perlu dibuat. Misalnya bila seorang wakil rakyat yang dipilih atas logo sebuah parti mengambil tindakan keluar dari parti tersebut, maka tindakan itu pada dasarnya bukan satu tindakan yang baik. Dalam bahasa mudah kita namakannya sebagai ‘lompat parti’ atau ‘party hopping‘.

- Advertisement -

Kenapa lompat parti bukan suatu yang baik? 

Pertamanya, dari sudut mandat yang diberikan oleh pengundi sewaktu pilihan raya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa dorongan yang paling dominan bagi seseorang pengundi membuat pilihan ialah faktor parti, bukannya individu calon. Jadi bila seseorang wakil rakyat itu bertukar parti, maka ia telah dianggap mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.

Kedua, dari sudut kepercayaan parti. Seseorang dipilih untuk bertanding atas kepercayaan yang diberikan oleh parti dan ahli-ahlinya. Sewaktu tempoh kempen beliau disokong oleh jentera parti dengan sumbangan tenaga manusia, masa dan wang. Oleh itu tindakan lompat parti adalah satu bentuk pengkhianatan kepada parti dan rakan-rakan pemimpin parti, ahli-ahlinya.

Ketiga, budaya lompat parti boleh mendorong kepada ketidakstabilan politik. Buktinya jelas kelihatan dalam perkembangan politik semasa.

Soalnya, bagaimana kita boleh menghalang budaya lompat parti ini? Jika kita benar-benar ingin menamatkan budaya ini, kita tidak perlu menghalang wakil rakyat lompat parti, kerana halangan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan. 

Cara yang lebih mudah ialah dengan mengubah sistem pilihan raya. Jika sekarang rakyat keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka sistem yang baharu ialah mengundi untuk memilih parti. 

Manakala parti diberi kebebasan untuk menentukan siapakah wakil rakyat yang ingin dinamakan. Jika wakil rakyat itu keluar parti, hilang keupayaan atau mati, maka parti akan menamakan tokoh lain tanpa perlu Pilihan Raya Kecil. Apa pendapat anda?

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 18/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -