Pemuda sokong tuntutan kerajaan Kedah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kepimpinan Pemuda PAS, Umno dan Armada bersatu Kedah sebulat suara melahirkan sokongan terhadap kerajaan negeri bagi menuntut bayaran caj penggunaan air mentah oleh Pulau Pinang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, tuntutan tersebut sesuatu yang munasabah bagi mengekalkan kelestarian kawasan tadahan air Ulu Muda.

Katanya, ia sekali gus menjamin bekalan air mencukupi kepada lebih 4 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

- Advertisement -

Ujar beliau lagi, semakan semula perjanjian itu perlu berikutan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus air dari Sungai Muda sehari pada masa kini iaitu 1,100 juta liter padu (mld).

“Penggunaan air sangat tinggi itu bersumberkan air yang mengalir dalam Sungai Muda dari kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda.

“Tuntutan itu amat wajar memandangkan Kedah perlu menanggung kos penyenggaraan sumber dan aliran air.

“Sedangkan Pulau Pinang menikmati keuntungan secara percuma,” katanya pada sidang media di Restoren Anjung Kuala, semalam.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli serta Ketua Armada Bersatu Kedah, Mohd Saffuan Sabari.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menuntut kerajaan Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun terhadap caj penggunaan air dari Sungai Muda.

Perbadanan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air dari Sungai Muda setiap hari bersamaan 1,100 juta liter sehari (MLD) secara percuma. – HARAKAHDAILY 18/12/2020

- Advertisement -