Tuan Guru Hashim Jasin kekal ketuai MSU

- Advertisement -

KANGAR: Majlis Syura Ulamak (MSU) yang tamat tempoh penggal terdahulu membuat pelantikan jawatankuasa baharu semalam.

Pelantikan baharu itu menyaksikan Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin kekal sebagai Mursyidul Am PAS yang keempat. Manakala timbalannya Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.

- Advertisement -

MSU bermula sejak 1982 selepas Tuan Guru Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS.

Dewan Pemuda PAS Pusat ketika itu mengusulkan penubuhan Majlis Syura Ulama kemudian diangkat ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Selepas Allahyarham Tuan Guru Yusuf, jawatan itu diganti Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din.

Ustaz Hashim juga berkata, ramai masih tertanya-tanya mengenai peranan MSU dibandingkan dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Kataya, MSU berperanan menentukan sesuatu keputusan besar khususnya melibatkan dasar dan hubungan antara parti.

“MSU juga boleh membatalkan sesuatu keputusan meskipun telah diputuskan AJK PAS Pusat mahu pun di muktamar jika keputusan itu didapati melanggar syariat yang ditetapkan agama Islam.

“Contohnya keputusan jalinan kerjasama antara parti seperti Muafakat Nasional, hubungan dengan DAP yang mana selepas diputuskan di muktamar ia akan dimuktamadkan oleh MSU.

“Begitulah besarnya peranan MSU dalam menentukan dasar dan hala tuju parti, yang mana ia perlu dimuktamadkan oleh MSU terlebih dahulu,” katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut kata beliau, dalam soal strategi politik seperti pengagihan kerusi pilihan raya atau perkembangan politik terkini, ia boleh diputuskan AJK PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -