Wajar Pulau Pinang bayar caj sumber air

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Pulau Pinang sewajarnya menimbang tuntutan kerajaan Kedah terhadap penggunaan bekalan air mentah dari Sungai Muda.

Pelbagai pihak menyifatkan Program Bekalan Air Pulau Pinang dan pewartaan enakmen negeri yang kini berusia 35 tahun wajar dikaji semula.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Arau, Husna Hashim berkata, Kerajaan Pulau Pinang sewajarnya tidak membiarkan kos penyelenggaraan Sungai Muda hanya ditanggung kerajaan Kedah sahaja.

“Kedua-dua pihak perlu berunding dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mencapai situasi menang-menang.

“Jika tiada kesepakatan dibuat, mungkin Kerajaan Pusat perlu campur tangan memandangkan isu tersebut kelihatan sukar untuk diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan Kedah menuntut Pulau Pinang membayar caj penggunaan sumber air dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang dalam satu kenyataan enggan menjelaskan caj tersebut dengan mendakwa negeri itu mengambil sumber air Sungai Muda di sempadan Pulau Pinang.

Malah, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan ada kewajaran kerajaan Pulau Pinang menimbangkan bayaran caj kepada Kedah bagi pengurusan sumber air. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -