Kejar akhirat dunia kau dapat

- Advertisement -

KITA hidup sekarang di zaman dunia yang begitu menggoda, fitnah akhir zaman. Kerosakan dan kemaksiatan begitu mudah untuk dilihat dan dikerjakan. Kerana apa? Mungkin kerana teknologi dan kekayaan atau manusia semakin jauh dari Tuhan dan agama. Sekarang semuanya tersedia dan terhidang di depan mata dan di hujung jari. Di zaman tahun 90-an ke bawah, yang mampu membeli motosikal hanya orang kaya. Sekarang di mana-mana orang miliki motosikal malah kereta mewah. 

Dahulu hendak ke mana-mana susah, hendak buat maksiat susah, tetapi sekarang semuanya boleh melalui ‘online’ atau pelbagai aplikasi di internet. Terus dihantar ke tempat di mana sahaja di dalam dan di luar negara, sama ada untuk tujuan baik atau maksiat. Ya, begitu mudah. Hendak menempah tempat maksiat hanya melalui handphone sahaja dengan pelbagai pilihan. Nauzubillah min zalik (Kami berlindung dari Allah dari perkara yang buruk). 

- Advertisement -

Maka sudah waktunya kita berhenti sejenak, merenungkan kehidupan ini. Dari mana kita datang, di mana kita sekarang dan ke mana matlamat akhir kehidupan kita ini. Jangan sampai malaikat pencabut nyawa datang mencabut nyawa kita, di ketika itu sudah terlambat dan Allah tidak akan menerima penyeselan dan taubat kita Subhanallah.

Kita perlu sedar, bahawa kewajipan setiap Muslim adalah sentiasa menjaga adab-adab terhadap dirinya, seperti taubat, muraqabah (merasakan kehadiran Allah), muhasabah (menghisab diri), mujahadah (melawan hasutan nafsu) dan mu’ahadah (mengingat perjanjian dengan Allah). 

Seperti firman Allah dalam surah al Insyiqaq ayat 6 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.”

Di antara yang menyebabkan manusia terlena atau terlalai ialah oleh sifat lupa dan malas, sebagaimana sifat lupa telah menyebabkan Nabi Adam A.S, terjebak dalam dosa melanggar perintah Allah…

Apa firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 35 dan 36 yang bermaksud:

“Dan Kami berfirman: “Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.”

“Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.””

Allah sudah perintahkan kepada Nabi Adam A.S, jangan mendekati pohon itu dan berhati-hati dengan syaitan, jangan sampai engkau tergoda dengan syaitan dan syaitan itu musuh kamu! Tetapi Nabi Adam terlupa dan terjebak dengan pujukan syaitan, lupa Nabi Adam yang syaitan itu adalah musuh yang nyata dan Baginda tertipu daya oleh bisikan syaitan. Akhirnya Nabi Adam diturunkan ke bumi. 

Di ketika orang didatangi penyakit lupa, dia akan lupa mengenai siapa dirinya, apa tujuannya dia diciptakan. Kesannya akan melahirkan sifat malas dan bosan. Malas untuk belajar ilmu agama, malas untuk berjamaah ke masjid, malas untuk zikrullah, malas untuk melaksanakan amalan sunnah, malas masuk awal ke masjid untuk iktikaf dan mendengar khutbah sembahyang Jumaat, malas untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan malas melaksanakan cara hidup Islam. Hatinya sudah dilupakan dan disibukkan dengan keinginannya kepada dunia.

Bagaimana cara untuk mengeluarkan mereka dari sifat lupa dan malas ini? Alhamdulillah, kecanggihan teknologi boleh membantu dengan mengeluarkan bahan-bahan ceramah motivasi di YouTube dan di media sosial yang lain oleh penceramah-penceramah pilihan, edaran risalah-risalah menarik, santuni mereka dengan kasih sayang, sembang-sembang santai isu-isu agama di tv dan radio, mendekati ahli masyarakat yang tidak ke masjid dan yang tidak suka ibadah dengan mempelbagaikan pendekatan dakwah terhadap mereka. 

Golongan inilah yang sepatutnya diberikan sokongan dan bimbingan, agar mereka terasa tidak terus terbiar dan dipinggirkan. Apabila mereka faham apakah tujuan mereka dihidupkan, pasti mereka akan tersedar dan sabar melaksanakannya, kerana mereka sudah mengerti apa tujuan mereka dihidupkan, seperti sabarnya seseorang itu menunggu giliran bertemu doktor. Walaupun terpaksa menunggu lama tetapi tetap bersabar kerana jelas apa tujuan dan keperluan mereka bertemu doktor tersebut.

Allah berfirman dalam surah Adh-Dhariyat ayat 56-58 yang bermaksud:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Perkasa.”

Allah S.W.T tidak memerlukan apa-apa dari manusia tetapi manusialah yang memerlukan Allah S.W.T.

Dan Allah berfirman lagi dalam surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud:

“Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Dialah Allah yang menciptakan untuk manusia, semua yang ada di muka bumi ini agar tunduk menurut kehendak manusia. Ayat ini di jadikan sandaran oleh para ulamak, bahawa semua yang ada di muka bumi ini, hukumnya halal, kecuali ada dalil yang mengatakannya haram, kerana Allah menciptakan semuanya untuk manusia. Untuk kita! Subhanallah

Allah memberikan semua kemudahan ini untuk apa? Untuk beribadah kepada-Nya. Bukan untuk bersenang-senang. 

Sebagaimana seorang pekerja, diberi pelbagai kemudahan dan keistimewaan oleh ketuanya. Diberi rumah, lengkap dengan kolam renang, ada pembantu, di belakang rumah ada kolam ikan. Masya-Allah! Akhirnya pekerja ini terlena dengan kemewahan, kerjanya cuma berenang dan memancing sahaja. Pekerja yang begini, ketuanya suka atau tidak? Pastinya tidak. Lalu ketuanya berkata, “Aku pecat kamu, aku bagi semua keistimewaan ini untuk kamu bekerja lebih rajin, tidak memikirkan itu ini, tetapi akhirnya kamu cuma berenang dan memancing sahaja.” 

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan manusia, dia lupa bahawa kemudahan yang Allah S.W.T berikan adalah untuk memudahkan beribadah dan meletakkan seluruh ketaatan kepada-Nya. Tetapi ramai yang lupa, sehingga kerjanya hanya bersenang-senang.

Nasihat bijak dari Lugman Al Hakim mengatakan:

“Belilah akhiratmu dengan duniamu.”

Satu nasihat mengenai satu perniagaan yang bermodalkan dunia, iaitu tukarlah duniamu dengan akhiratmu, engkau akan beruntung, dapat kedua-duanya: 

“Jangan sampai engkau jual akhiratmu untuk mendapatkan kenikmatan dunia.”

Engkau akan rugi kedua-duanya. Nasihat Luqman di atas jika di dalami memang benar, bahawa taat kepada Allah adalah kunci seseorang dalam meraih kejayaan. Kejayaan yang ini tentu tidak hanya diukur dengan nilaian kebendaan, melainkan lebih kepada balasan daripada Allah S.W.T di akhirat kelak. 

Di mana-mana sekarang kita mudah menyaksikan orang-orang yang berjaya di dunia, tetapi jauh dari ibadah dan jauh dari Tuhan. Apa yang mereka dapat? Dapat tua, keletihan menghabiskan usia dengan bekerja yang mengimpikan akan menikmati kekayaan di usia tua. Tetapi ternyata ramai yang akhir hidupnya ditimpa penyakit seperti strok dan lain-lain, memiliki segala-galanya, tetapi makan donat pun tidak boleh. Apa yang boleh? Bubur sahaja. Semuanya sudah tidak berguna.

Dengan itu ingatlah duhai saudara, belilah akhiratmu dengan menjual duniamu. Kita akan untung dua-duanya. 

Imam ketika berkhutbah selalu mengingatkan makmum akan surah al-Qashash ayat 77:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Ayat ini mengingatkan manusia mengenai:

(1) Carilah pahala negeri akhirat dengan harta kekayaan yang di kurniakan Allah kepada kita, sebab kehidupan ini hanya sementara dan kehidupan akhirat itu yang kekal abadi. 

(2) Janganlah kita melupakan bahagian kita daripada kenikmatan dunia, iaitu harta yang halal. Hiduplah dalam rumah yang baik, pakailah kenderaan yang selesa dan bahagialah dengan isteri yang solehah, mudah-mudahan dengan semua itu, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat juga.

(3) Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah S.W.T telah berbuat kepada kita dengan berakhlak yang baik, bertutur kata yang baik, berlapang dada dan berbelas kasihan kepada semua manusia lebih-lebih lagi kepada golongan fakir miskin dan anak-anak yatim.

(4) Jangan berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang suka membuat kerosakan. Sesungguhnya berbuat kerosakan itu akan merugikan diri sendiri dan orang lain, dan boleh memutuskan silaturrahim. Antara kerosakan itu ialah melakukan penganiayaan atau kezaliman seperti menganggu keamanan, menyakiti hati sesama manusia, menipu, mencari keuntungan semata-mata untuk diri sendiri dengan melupakan kerugian orang lain dan sebagainya. Mudah-mudahan kita akan terus menjalani kehidupan di dunia ini sesuai dengan kehendak Allah S.W.T iaitu dengan memperolehi kehidupayang baik dan berjaya di dunia dan di akhirat serta dijauhkan dari azab neraka di akhirat.

Rasulullah S.A.W mengingatkan di dalam Hadis ini, khusus kepada manusia yang menjadikan dunia ini sesuatu yang besar di hatinya:

“Dari Zain bin Tsabit (Seorang Sahabat Nabi S.A.W), beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya. Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.””

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah S.A.W mencela orang yang keinginan terbesar di hatinya kepada dunia. Apa yang terjadi kepada orang seperti ini? Allah akan cerai-beraikan urusannya. Apa maksudnya? Ertinya Allah cerai beraikan kekuatan dia. Orang ini akan mudah putus asa ketika ditimpa musibah. Hatinya akan penuh dengan penyakit-penyakit hati seperti cinta dunia yang berlebihan, penyakit dengki, tamak bahkan sampai peringkat menghalalkan yang haram demi untuk mendapatkan dunia.

Sangat susah bagi orang yang seperti ini untuk ikhlas. Dia akan ikhlas jika ternyata ada kepentingan dunia, bukan kerana Allah S.W.T tetapi dunianya. Ketika sembahyang atau berbuat kebaikan, niat terbesarnya supaya dapat dunia, maka amalan yang seperti ini tercela di sisi Allah dan sia-sia malah mendapat azab api neraka (seperti firman Allah dalam surah Hud ayat 15 -16).

Hassan al-Basri, mengatakan:

“Barang siapa yang mengenal Allah pasti cinta kepada Allah.”

Allah itu ar-Rahman dan ar-Rahim, al-Malik al-Quddus, as-Salam, al-Mukmin, al-Muhaimin, al-Aziz, al-Jabbar dan nama-nama Allah yang indah yang lain.

Bagaimana kita tidak cinta Allah sedangkan kehidupan kita berasal dari-Nya. Semua yang kita makan berasal dari-Nya, tetapi kenapa ramai manusia malas beribadah kepada Allah? Susah untuk solat ke masjid, kenapa? Kerana mereka tidak kenal Allah. Di ketika manusia sudah tahu dan kenal Allah, pasti mereka akan meletakkan seluruh Ubudiyyah kepada-Nya. Jadi di masa itulah manusia akan tersenyum bangga menjadi hamba Allah, dipanggil sahaja terus taat dan patuh, meninggalkan apa sahaja yang sedang di lakukan. Jadi betullah kata pujangga, ‘tak kenal maka tak cinta’.

Dan Hassan al-Basri menyambung lagi:

“Siapa yang kenal akan dunia dia akan zuhud dengan dunia.” 

Yang kenal dunia, tahu mengenai hakikat dunia, lihat Rasulullah S.A.W, insan yang tahu hakikat dunia, ketika ditawarkan dengan gunung jadi emas, kemewah-mewahan dunia, Baginda menolaknya dan tidak menukarkannya dengan agama. Pernah Sahabat kesayangan Baginda Umar al-Khattab menangis, melihat susahnya hidup Nabi, lalu apa sabda Nabi yang bermaksud:

“Aku tidak memiliki kecenderungan (kecintaan) terhadap dunia. Keberadaanku di dalam dunia seperti seorang musafir yang berteduh di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkan pohon tersebut.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Kalau kita kenal dunia, kita akan zuhud dengan dunia sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W seperti Hadis di atas. Dunia hanya tempat persinggahan buat manusia mengutip seberapa banyak bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi di akhirat.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata:

“Orang mencintai dunia atau harta (secara berlebihan) tidak akan terlepas dari tiga (kerosakan dan penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang tidak pernah hilang, keletihan yang berpanjangan dan penyesalan yang tiada akhirnya.”

Jadi ada beberapa perkara yang mesti kita tahu mengenai pengurusan harta:

(1) Membelanjakan harta dengan niat semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah.
(2) Tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja.
(3) Tidak kedekut dalam memberbelanjakan harta untuk tujuan kebajikan dan sedekah, sebab Rasulullah S.A.W telah mengingatkan kita mengenai fitnah harta:

“Sesungguhnya pada setiap umat (kaum) ada fitnah (pada) umatku adalah harta.”

(Hadith Riwayat Tirmizi no 2336)

Sampai ke mana kita mahu mengejar dunia ini? Pasti satu masa nanti, kita akan lelah jua. Semakin jauh kita berlari, semakin jauh akhirat kita tinggalkan. Ingatlah saudara, bahawa kejarlah akhirat pasti dunia pun akan mengikut kita. Subhanallah.

Dikatakan ada empat jenis racun, dan setiap satunya ada penawar:

(1) Dunia ini racun yang mematikan, penawarnya zuhud. Zuhud itu bukan bererti, miskin, (erti zuhud, meninggalkan hal-hal yang tidak manfaat di akhirat) sekiranya harta itu bermanfaat untuk akhirat, maka mesti cari harta. Kalau jawatan itu memberi manfaat untuk akhirat, maka kejarlah jawatan itu, tetapi buat akhirat. Ini bukan termasuk gila jawatan. Maksudnya dia mengejar sesuatu untuk meraih akhiratnya bukan dunianya. Itu zuhud.

Namun banyak yang memahami zuhud itu dengan miskin, baju yang compang-camping, tidak begitu. Dia mungkin seorang ketua di pejabat atau perusahaan. Dia seorang yang kaya raya tetapi zuhud bahkan membelanjakan hartanya untuk jalan Allah dan dermawan, seperti contoh isteri kesayangan Nabi sendiri, Saidatina Khadijah binti Khuwailid.


(2) Harta. Allah berfirman dalam surah at-Taghabun ayat 15 yang bermaksud:

“…Harta itu adalah fitnah bagi mu…”

Bahkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Setiap umat ada fitnah, dan fitnah umatku adalah harta” 

(Hadith Riwayat Tirmizi)

Lihatlah pembunuhan-pembunuhan yang terjadi. Apa penyebabnya? Harta. Adik-beradik tidak bertegur sapa. Apa sebabnya? Harta. Harta boleh menyebabkan banyak nyawa melayang dan tali silaturrahim terputus. Apa penawarnya? Zakat dan sedekah. Kalau sudah bersedekah, sudah tentu seseorang itu tidak akan memakan harta orang, insya-Allah. Maka bersihkan harta dengan zakat dan memperbanyakkan sedekah. 

(3) Percakapan, salah satu racun di mana ketika ditimpa bala’, suka mengeluh, menyalahkan Allah S.W.T. Jadi apa penawarnya? Zikrullah. Sering berzikir, terlintas sahaja perkara-perkara yang tidak baik, ingatkan diri untuk berzikir. Dan begitulah seterusnya. Sekarang bercakap bukan pakai mulut tapi dengan tulisan, semua ingin dilepaskan di media sosial, macam tak ada kerja lain. Jadi ubatnya biasakan dengan zikrullah seperti menyebut Masya-Allah, Astaghfirullah, Subhanallah, Allahu Akbar, dan lain-lain bila berhadapan dengan apa sahaja situasi ujian dan masalah. Dengan cara itu lebih indah dan disukai Allah S.W.T.

(4) Hakim, yang memutuskan. Orang yang mendapat jawatan hakim ini, diibaratkan seperti disembelih tanpa pisau. Jawatan ini sangat menakutkan. Jadi apa penawarnya? Adil. Berbuatlah yang adil walaupun nyata dalam bahaya, tetapi kehidupan ini cuma sementara, mahu tidak mahu keadilan mesti ditegakkan. 

Uthman bin Affan ada mengatakan:

“Keinginan kepada dunia ini memberi kesan kegelapan di hati, tak lena tidur dan kebingungan ketika memikirkan dunia. Tetapi keinginan kepada akhirat itu memberi kesan cahaya di hati, terang jalan-jalan di kehidupan ini dan tidak akan berada dalam kegelapan ketika memikirkan akhirat.”

Kesimpulannya, 

Berkaitan dengan tajuk ini, Rasulullah S.A.W banyak berdoa mengatakan:

“Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah wa qina ‘adzabannar.” 

“Maksudnya Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

Kalau kalian teliti doa ini, doa ini ada tiga bahagian:

(1) Ya Allah berikan kepada kami kebaikan di dunia. Apa kebaikan di dunia? Ketaatan pada mu ya Allah, boleh beribadah, memiliki harta yang membantu kita meraih akhirat kita. Ertinya kita hidup di dunia perlukan kebahagiaan, kebahagiaan yang sampai ke akhirat. 

(2) Dan Ya Allah berikan kepada kami kebaikan di akhirat. Kita meminta kepada Allah S.W.T agar kita boleh selamat ketika dibangkitkan dari kubur nanti, kemudian dapat melalui satu-satu hal yang sangat menakutkan di Padang Mahsyar sehingga menyampaikan kita dengan selamat masuk ke Syurga Firdaus menjadi pendamping dan peneman Rasulullah S.A.W buat selama-lamanya. Aamiin!. 

(3) Dan Ya Allah selamatkan kami dari azab api neraka

Jadi dunia hanya satu pertiga sahaja, dan dua pertiga lagi buat akhirat kita. Jadi kalau ada orang mengatakan, kita harus seimbang dunia dan akhirat, kalau mampu seimbang, Masya-Allah itulah yang paling baik. 

Silakan berjuang menegakkan kebenaran, silakan mencari ilmu, silakan bekerja, silakan mencari rezeki, silakan mengumpulkan harta, tetapi tetap semuanya untuk akhirat. Ketika keinginan kalian kepada akhirat, dunia akan ikut, seperti kalian akan mendapat anak-anak yang soleh dan solehah, isteri yang solehah, rumah tangga haraki yang sakinah, mawaddah dan penuh dengan rahmat Allah. Insya-Allah.

Wallahua’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -