Mansuh penyelia PAS di DUN, Parlimen Umno, BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PAS Negeri Kelantan merealisasikan semangat ta’awun bersama Umno dan BERSATU apabila memansuhkan jawatan Pegawai Penyelia DUN dan Parlimen yang dimenangi dua parti tersebut di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan, pemansuhan bermula tahun depan itu sekali gus bermakna peruntukan Kerajaan Negeri Kelantan akan terus disalurkan kepada wakil rakyat berkenaan.

Dalam amalan tadbir urus selama ini, Pegawai Penyelia dilantik bagi pihak kerajaan negeri dalam menguruskan DUN dan Parlimen yang tidak dimenangi parti kerajaan di negeri itu, malah menjadi amalan sama dipraktikkan di banyak negeri.

- Advertisement -

Pengawai Penyelia berperanan sebagai perantara dan wakil kerajaan negeri termasuk menguruskan peruntukan kewangan yang disalurkan bagi segala tujuan pembangunan dan pengurusan di DUN dan Parlimen tersebut.

“Selama ini kita ada pegawai penyelia di kawasan DUN dan Parlimen yang kita kalah sama ada kepada Umno atau BERSATU. Mengambil semangat kerjasama, mulai 2021 kerajaan negeri bersetuju untuk memansuhkan jawatan penyelia di kawasan itu.

“Ini bagi memberi ruang kepada wakil rakyat di situ untuk berperanan sama ada daripada Umno dan BERSATU,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, Kota Bharu sebagaimana dilapor Bernama hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan individu yang memegang jawatan penyelia terbabit akan dilantik sebagai pegawai seranta di bawah Pejabat Menteri Besar.

“Jumlah penyelia yang dimansuhkan jawatan ini ialah mengikut kawasan yang tidak dimenangi oleh PAS seperti Parlimen Jeli, Machang, Tanah Merah, Ketereh, Gua Musang serta beberapa kawasan DUN seperti Kok Lanas dan Galas,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -