Peranan Menteri Penyelaras antara Pusat dan Negeri

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada satu cetakan perbualan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) dan YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan berkaitan dengan penglibatan anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah (GLC) – Bina Darulaman Berhad (‘BDB’) dan cadangan penglibatan rakan usahasama (JV) Taliworks Corporation, dalam projek pembangunan di Negeri Kedah.

Cetakan perbualan melalui aplikasi WhatsApp tersebut sengaja dipetik di luar konteks dan ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan.

- Advertisement -

Adalah dimaklumkan bahawa YB Dato’ Takiyuddin Hassan telah dilantik YAB Perdana Menteri sebagai Menteri Penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Kedah yang berkuatkuasa mulai 1 September 2020.

Selaras dengan pelantikan itu, adalah menjadi tugas YB Dato’ Takiyuddin Hassan selaku Menteri Penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah untuk menjalankan tugas-tugas, yang antara lainnya meliputi hal-hal berikut:-

(a) Memperkukuhkan kedududan dan perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah dengan penyampaian maklumat yang tepat agar selari dengan dasar-dasar negara;

(b) Memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian atau jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah;

(c) Menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat Negeri Kedah daripada Kerajaan Persekutuan;

(d) Pengerusi bersama dengan YAB Menteri Besar Kedah berhubung dengan pengurusan bencana; dan

(e) Apa-apa tugas yang diarahkan oleh YAB Perdana Menteri dari masa ke semasa yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

Sehubungan itu, suka saya nyatakan bahawa cetakan perbualan (perbincangan) melalui aplikasi WhatsApp tersebut adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab YB Dato’ Takiyuddin Hassan atas kapasiti beliau selaku Menteri Penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah, untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian atau jabatan atau agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam hal ini, penjelasan YAB Menteri Besar Kedah bertarikh 14.12.2020 adalah dirujuk dan memberikan penerangan serta pendirian yang sama. [1]

WAN ROHIMI WAN DAUD
Setiausaha Politik kepada
YB Dato’ Takiyuddin Hassan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang)
15 Disember 2020 | 29 Rabiul Akhir 1442 – HARAKAHDAILY 15/12/2020

[1] https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/14/penyelarasan-projek-persekutuan-bawah-glc-kedah/

- Advertisement -