Speaker DUN Johor malukan diri sendiri

Disifatkan tidak memahami maksud 'Speaker dua kerajaan' yang ditulisnya sendiri

- Advertisement -

SEJAK bila Kerajaan Negeri Johor ada dua kerajaan? Faham atau tidak maksud kerajaan? Jika speaker dua kerajaan dimaksudkan persepakatan antara parti yang pemerintah dan parti pembangkang ketika sidang DUN berjalan, naif sangat pemahaman speaker mengenai politik. Saya begitu teruja membaca artikel Speaker DUN Johor, bertajuk, ‘speaker dua kerajaan’ atas kapasiti sebagai seorang Speaker (PAN).

Speaker ini faham atau tidak maksud kerajaan? Kerajaan adalah kerajaan. Kerajaan Pusat hanya ada satu iaitu Kerajaan Malaysia, diikuti dengan kerajaan di setiap negeri, pun hanya ada satu. Sesiapa pun yang memahami ilmu sains politik, Kerajaan Negeri Johor adalah Kerajaan Negeri Johor, sepakat macam mana pun antara pemerintah dengan pembangkang, Kerajaan Johor tetap satu.

Parti yang memerintah dan parti pembangkang, mereka ini bukan kerajaan, tetapi adalah, sama ada parti yang memerintah (ruling party) atau parti yang membangkang (opposition party). Tak kaitan langsung dengan maksud kerajaan.

- Advertisement -

Parti politik sehingga kiamat pun tidak boleh menjadi kerajaan. Parti politik hanya menguruskan dan mentadbir kerajaan. Sebab, parti politik datang dan pergi, bergantung kepada pilihan rakyat. Manakala, Kerajaan Negeri Johor telah berdiri megah dan berdaulat sejak wujudnya Kerajaan Johor – Riau, sehinggalah tinggal Kerajaan Johor sahaja.

Tidak timbul ada dua kerajaan dalam satu kerajaan negeri, meskipun pemerintah dan pembangkang, bersatu hati, atau berlaku Kerajaan Campuran. Kerajaan tetap ada satu. Apakah speaker ini menganggap, dek kerana perjalanan sidang DUN berjalan dengan baik antara pemerintah dan pembangkang, itu dikatakan dua kerajaan. Saranan saya, eloklah speaker pergi mengaji.

Apabila sidang DUN berjalan lancar, pihak kerajaan dan pembangkang masing-masing memfokus masalah rakyat yang sedang menghadapi kesan pandemik COVID-19, itu bukan bermakna ada dua kerajaan. Itu namanya persepakatan antara parti, dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Bukan suatu yang pelik apabila Kerajaan Johor dipimpin oleh Menteri Besar daripada Umno-PN. Manakala, speakernya daripada pembangkang PAN-PH. Kerja speaker memastikan sidang DUN berjalan lancar, walau apa pun berlaku antara pemerintah dan pembangkang. Apabila berlaku pertikaman lidah, itu bukan bermakna tinggal satu kerajaan. Itu biasa. 

Bila speaker menulis, ‘Hanya di Johor sahaja speaker yang dilantik oleh Kerajaan PH disambung perkhidmatannya oleh Kerajaan PN atau ringkasnya speaker dua kerajaan’.

Speaker belajar daripada mana menggunakan istilah speaker ‘dua kerajaan’. Jangan buat malu. Tidak ada istilah speaker dua kerajaan. Speaker tetap speaker. Speaker perlu melaksanakan tugasnya sebagai speaker kepada Kerajaan Negeri Johor. Ada fahamkah?

Speaker mendakwa, suasana sidang DUN Johor sangat harmoni tidak sepanas Parlimen. ADUN daripada kedua-dua pihak membangkitkan isu yang sama dan berusaha bersungguh-sungguh mencari penyelesaian masalah rakyat Johor seperti isu pembukaan tambak Johor, kuarantin, perumahan, pembuangan pekerja, jurang digital, pertanian rakyat, wanita dan anak muda. 

Ini bukan bermaksud dua kerajaan. Hujah inipun tak ada kaitan dengan speaker dua kerajaan. Ini adalah perkara biasa. Menjadi tanggungjawab speaker untuk memastikan perjalanan DUN berjalan lancar.

Speaker turut menukilkan, pembangkang di Johor sangat berjiwa besar walaupun Pt Yaani, Kota Iskandar, Jementah, Bukit Batu, Semerah, Johor Jaya, Bekok, Paloh dan Skudai, adalah bekas Exco Kerajaan PH yang ditumbangkan melalui langkah Sheraton, tetapi mereka tidak sekalipun menyerang secara membabi buta Kerajaan PN Johor. Mereka sangat profesional serta prihatin terhadap rakyat Johor yang dalam kesusahan dan tidak mahu polemik politik menambah masalah kepada rakyat. Menteri Besar Johor dan Ketua Pembangkang Dewan Johor sangat berbeza dengan Perdana Menteri dan ketua pembangkang di Parlimen.

Apa tujuan speaker ini membuat perbandingan? Seolah-olah mahu memperkecilkan peranan speaker, PM dan Ketua Pembangkang di Parlimen? Sidang DUN Johor pada masa akan datang, tidak mustahil akan berlaku pertikaman lidah. Jika berlaku, adakah tinggal satu kerajaan?

Kamu tahu ke tidak, huru-hara di Parlimen hari ini disebabkan oleh siapa? Sehingga kini, tidak habis-habis dengan undi tidak percaya ketika rakyat sedang susah berhadapan pandemik COVID-19?

Tidak ada istilah apabila speaker berjaya mengawal sidang DUN, bermakna Johor telah berjaya terokai politik baru. Ini biasa, bukan baharu. Ini adalah soal kematangan dalam berpolitik. Jika pemerintah dan pembangkang boleh bersetuju dalam perkara berkaitan kepentingan rakyat, itulah kematangan, itulah nama wakil rakyat yang sebenar, bukan wakil parti. 

Saya bimbang penggunaan istilah salah, speaker dua kerajaan ini, bukan sahaja mengelirukan, tetapi ada udang sebalik batu, yang cuba ditonjolkan. Jika pemerintah dan pembangkang boleh bermuafakat, itu adalah kematangan mereka dan tidak ada kaitan dengan speaker dua kerajaan, kerana tidak akan dua kerajaan dalam satu negeri. Marilah speaker kita sama-sama pergi mengaji.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 7/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -